KETUA Pegawai Operasi (COO), Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Emir Abdul Jalal tetap positif mahu memastikan penganjuran edisi kali ke-27 tetap gemilang.

Kali ini, LTdL 2023 kembali dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) yang pernah dipertanggungjawabkan menguruskan perlumbaan jelajah berprestij itu dari 2012 hingga 2014.

Penganjuran ketika itu menyaksikan LTdL berjaya menerima pengiktirafan anugerah “Excellence Level of Organisation’ oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sehingga menarik enam pasukan ProTeam menyertai perlumbaan secara merit pada 2014.

COO Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, Emir Abdul Jalal tetap positif mahu memastikan penganjuran edisi ke-27, penuh gemilang.

Emir pernah dipertanggungjawab menguruskan perlumbaan pada 2016 sehingga 2018 di bawah syarikat Ciclista Sports Sdn Bhd sebelum tugas berkenaan diambil pihak lain termasuk Human Voyage (HV) Sdn Bhd selepas itu.

Pada tahun lalu, penganjuran dikendalikan HV terpalit dengan isu apabila semalam, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, mendedahkan menerima surat daripada UCI berhubung tunggakan bayaran penganjur LTdL 2022 kepada lima pasukan bertanding.

Emir yang berpengalaman luas dalam bidang ini berkata, dia sentiasa positif selain menyatakan pihaknya mempunyai ‘resepi’ untuk menjayakan edisi kali ini meskipun sedang dalam usaha ‘pujuk memujuk’ dengan pasukan yang diklasifikasikan WorldTeam untuk menyertai LTdL 2023.

Semalam berlangsung majlis pelancaran LTdL 2023.

“Kita mempunyai rekod. Dulu pun saya bersama MSN, masa penganjuran LTdL yang cemerlang. Kita pun tahu formula dan resepinya untuk menjayakan dalam masa singkat. Pelantikan kami pada Jun dan Julai kami sudah melancarkan (LTdL 2023).

“Maksudnya, dari awal Jun sehingga sekarang, kami terus bekerja. Kita cuba dapatkan semua dan kita diperkuat dengan tema yang kuat (Beat the Heat). Sasaran kita (sekarang) adalah mendapatkan penaja sebab bajet yang diberikan agak kecil.

“Dengan bajet yang ada memang tak cukup dan kita sebenarnya perlu realistik mengenainya tetapi seperti menteri katakan (Hannah Yeoh), kita akan buat sebaik mungkin dan dengan tambahan penaja, kita akan kembalikan LTdL seperti dulu,” kata Emir.

Pada Majlis Pelancaran LTdL 2023, pihak penganjur memaklumkan senarai pasukan yang akan menyertai edisi kali ini akan dimuktamadkan tidak lama lagi, membabitkan minima tiga pasukan Dunia (UCI WorldTeam), tujuh pasukan Pro (UCI ProTeam), 11 pasukan benua (UCI Continental) dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.