NASIB empat pemain BRM Kuala Kangsar FC terbela apabila disunting Perlis United FC bagi membawa cabaran Singa Utara menghadapi baki saingan MBSB Bank Championship 2023.
Sebelum ini, keluarga Liga M3 itu dikejutkan dengan berita penarikan diri pasukan BRM FC yang terpaksa ditutup selepas penaja dikatakan menarik semula tajaan hingga menyebabkan nasib para pemainnya tidak diketahui.
Perlis United menerusi pengumuman di laman sosial rasmi kelab mengesahkan membawa masuk Syazwan Tajuddin, Muhammad Zhafir, Muhamad Aminuddin, dan Muzammil Abdul Hadi bagi menghadapi baki saingan liga.
“Selamat datang kepada Syazwan Tajuddin, Muhammad Zhafir, Muhamad Aminuddin, dan Muzammil Abdul Hadi ke pasukan Perlis United FC bagi menghadapi baki saingan MBSB Bank Championship 2023 .
“Pasukan Perlis United FC sangat gembira dengan kehadiran mereka dan amat berharap mereka dapat membantu pasukan untuk layak ke Liga Super 2024. Selamat maju jaya dalam perjalanan anda bersama Perlis United FC,” tulis kenyataan itu.
Keempat-empat pemain itu juga telah diturunkan ketika Perlis United membenam Melaka FC sekaligus melonjak ke tangga keenam liga dengan 15 mata selepas berakhir 11 perlawanan.
Dalam perkembangan yang sama, Perlis United mengumumkan mereka terpaksa menggunakan Stadium Mini MPKP, Jitra sepanjang bulan Julai kerana venue utama, Stadium UiTM Arau dan Stadium UniMAP ditutup sementara untuk penyelenggaraan.
Perlis United bakal berhadapan Sains FC pada Ahad dalam misi memburu tiga mata bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam carta liga.