DUA jurulatih terjun baharu dijangka tiba dari China, pertengahan April depan, antara sebahagian langkah penstrukturan semula barisan kejurulatihan (terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS).
Keperluan dua jurulatih terbabit lebih mendesak terutamanya selepas jurulatih skuad terjun negara ketika ini, Li Rui juga dari China, sudah menghantar surat peletakan jawatannya, minggu lalu.
Perkembangan itu dikongsikan Setiausaha Agung MAS, Andy Low.
Menurut Andy, kekosongan ditinggalkan Li Rui yang membimbing penerjun elit negara sejak 2019 akan diisi oleh dua jurulatih baharu dari China yang dijangka tiba selewat-lewatnya pada pertengahan bulan depan.
“Kita akan mempunyai dua jurulatih baharu dari China. Mereka dijangka tiba pada hujung bulan ini atau pertengahan April.
“Selain jurulatih China, kita juga melantik dua jurulatih tempatan bagi melatih penerjun negara kerana bakal memiliki banyak program melonjakkan semula prestasi penerjun kita daripada elit sehingga pelapis.
“Li Rui sudah menghantar surat peletakan jawatannya dan akan terus berkhidmat sehingga Mei. Dia akan menyerahkan tugasnya kepada jurulatih baharu sebelum dia meninggalkan pasukan,” kata Andy ketika dihubungi.
Prestasi hambar skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, baru-baru ini dikritik hebat selepas tiada seorang penerjun berjaya menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Malaysia hanya akan diwakili penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises
di Paris selepas dia mengesahkan tiket ke temasya itu dalam acara 10 meter platform individu, tahun lalu.
Dalam pada itu, Andy, berkata kehadiran keempat-empat jurulatih baharu itu berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan yang akan dilaksanakan MAS bagi melonjakkan semula sukan terjun negara.
Pelan pemulihan lain yang akan dilaksanakan termasuklah program pembangunan bakat negeri, program atlet muda (Fast Track), penyusunan semula program latihan persediaan kejohanan dan pelaksanaan Skor Kelayakan Minimum (MQS).
“Program Fast Track kami tidak sama dengan yang berada di bawah RTG (Road to Gold). Sasaran kami berbeza, kami mahu mencari pengganti kepada atlet yang sudah berusia dalam skuad negara.
“Kami perlu bertindak pantas bagi mempersiapkan pengganti. Saya percaya ia akan mendatangkan hasil yang positif jika semua pihak dapat bekerjasama,” katanya.