JANUARI 2024 dianggap sebagai bulan paling kritikal buat perseorangan utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong dalam menentukan hala tujunya ke Sukan Olimpik 2024.

Empat kejohanan Jelajah Dunia dijadual pada bulan hadapan itu, bakal menentukan sejauh mana peluang buat pemain yang kini menghuni ranking ke-15 dunia itu.

Empat kejohanan awal musim 2024 pada Januari bermula dengan Terbuka Malaysia dari 9 hingga 14 Januari diikuti Terbuka India (16 hingga 21 Januari), Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari) dan Masters Thailand (30 Januari hingga 4 Februari).

Prestasi Ng Tze Yong di empat kejohanan pada Januari 2024, bakal menjadi penentu perancangan kejohanan buatnya sebelum kelayakan Olimpik Paris 2024 berakhir.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, peluang lebih tinggi buat pemainnya itu untuk ke Paris sekiranya berjaya mendapat keputusan yang baik dalam keempat-empat kejohanan berkenaan, yang berstatus Super 1,000, 750, 500 dan 300.

Malah, beliau juga akan membuat perancangan untuk Tze Yong menggunakan maklumat daripada empat kejohanan terbabit sebelum pusingan kelayakan Olimpik Paris berakhir April depan.

“Dia sudah berjaya layak ke suku akhir, separuh akhir dan final, cuma belum menjadi juara. Kalau boleh menjadi juara, sudah tentu peluang beraksi di Olimpik menjadi lebih besar.

Ng Tze Yong amat memerlukan kejuaraan untuk meraih mata maksimum daripada kejohanan yang disertai.

“Sementara ini, kita masukkan dulu nama (menyertai kejohanan). Jika empat kejohanan awal nanti hasilnya bagus, mungkin kita boleh kurangkan kejohanan-kejohanan akan datang,” kata Hendrawan, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Hendrawan yang juga bekas juara dunia menganggap Terbuka Perancis, Seluruh England (All England) dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada Mac dan April yang menjadi tiga aksi terakhir kelayakan Olimpik,  sebagai kejohanan penting buat Tze Yong.

“Untuk Mac nanti, dia juga akan menyertai kejohanan Terbuka Perancis dan All England yang boleh dikatakan sangat penting. Paling akhir (kelayakan Olimpik) nanti adalah Kejohanan Badminton Asia,” katanya.