Oleh: MOHD FARIQ

GENAP tiga dekad selepas membintangi Pasukan Impian Pahang, empat legenda bola sepak negara – Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Yunus Alif dan Ahmad Yusoff – dikurniakan pingat darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Yang Hormat Dato’ sempena ulang tahun keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah yang ke-63 pada Sabtu lepas.

Biarpun keempat-empatnya bukan anak jati Pahang, empat serangkai ini mengharumkan nama negeri itu khususnya ketika era liga semi-pro didominasi negeri Mat Kilau pada awal 1990-an.

Apabila Pahang mencorakkan pasukan dibarisi bintang pada 1983, Zainal Abidin yang berasal dari Selangor dijadikan sebagai teras pasukan. Dengan kehadiran bintang-bintang seperti Ahmad Yusoff, Terry Pathmanathan, R. Suriamurthi serta Yunus Aliff, Zainal dibekalkan peluang bertubi-tubi selaku penggempur, lalu muncul penjaring terbanyak dalam laluan membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia pada tahun berkenaan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengucapkan tahniah kepada empat bekas pemain negara itu atas pengurniaan darjah kebesaran berkenaan.

Dollah, Zainal, Yusoff dan Yunus dikurniakan pingat darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Yang Hormat Dato’. Foto: Dollah Salleh

“Keempat-empat legenda itu memang layak diberi penghormatan ini.

“Jasa mereka tidak terhad kepada sumbangan ketika mereka bermain, tetapi sehingga kini mereka masih aktif selaku jurulatih atau instruktur jurulatih,” kata Hamidin.

Hamidin turut menyifatkan darjah kebesaran berkenaan amat wajar memandangkan Zainal antara kelompok elit yang mengumpul lebih 100 caps untuk negara, dengan mencatat 116 penampilan manakala Ahmad (92) dan Dollah (82) turut menyumbang khidmat bakti melebihi sedekad.

Gandingan Zainal Abidin dan Yunus digeruni lawan dan kawan bahkan pernah bersaing untuk merebut Kasut Emas selaku penjaring terbanyak ketika mereka rakan sepasukan pada 1983, manakala Ahmad menentukan rentak di enjin tengah.

Zainal kembali ke Selangor pada 1985 sebelum dilamar semula ke Pahang pada hujung 1990 untuk berganding bahu dengan Dollah, selain Fandi Ahmad. Alan Davidson, Khairul Azman Mohamed dan Mubin Mokhtar yang membentuk Pasukan Impian.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) ketika itu ialah Al-Sultan Abdullah.

Secara kebetulan, Zainal Abidin, Yunus, Ahmad dan Dollah bersilih ganti memegang teraju selaku jurulatih pasukan Pahang selepas menggantung but masing-masing.

Untuk rekod, Zainal kini merupakan ketua jurulatih Penang FC, Dollah mengemudi skuad Sri Pahang FC dibantu Ahmad Yusoff manakala Yunus merupakan ketua jurulatih Real Mulia FC.