EMPAT pemain dari skuad B-23 tahun kebangsaan yang dibawa ke Oman untuk perlawanan ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menunjukkan kesungguhan dalam sesi latihan hari pertama di Muscat, Oman.
Tinjauan FLASH SUKAN ketika latihan yang diadakan di daerah Al Khoud mendapati Nooa Laine, Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad dan Harith Haiqal bersungguh-sungguh menjalani latihan di bawah kendalian barisan kejurulatihan yang diketuai Kim Pan-gon.
Harith Haiqal paling mencuri tumpuan kerana ini adalah kali pertama dia dipilih ke skuad senior manakala tiga lain pemain pernah beraksi di peringkat tertinggi sebelum ini dan dia dilihat selesa berlatih dan bersaing bersama-sama pemain yang lebih senior dan berpengalaman.
Mukhairi Ajmal juga kelihatan semakin bersemangat selepas dia berjaya menjaringkan gol pertama buat Harimau Malaya ketika aksi ujian menentang Nepal pada 15 Mac lalu dan dia sudah tentu mahu merebut posisi tengah yang akan menjadi nadi pasukan.
Azam Azmi dan Nooa Laine yang juga pernah beraksi dibawah kendalian Pan-gon membuktikan mengapa mereka di bawa ke Oman atas usaha yang tidak pernah kurang diberikan ketika sesi latihan.
Komitmen ditunjukkan keempat-empat pemain muda ini sememangnya menarik untuk disaksikan oleh para penyokong kerana mereka juga mungkin akan membawa cabaran skuad B-23 dalam Piala Asia B-23 di Qatar bulan hadapan.
Kesemua pemain juga terlihat bersemangat dengan masing-masing cuba mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik kerana kekurangan minit permainan ekoran perubahan jadual Liga Malaysia 2024-25 yang hanya akan bermula pada Mei.
Dalam sesi latihan yang berlangsung selama sejam itu, pemain-pemain hanya melakukan latihan ringan dan bermain bola sepak secara santai yang dipenuhi gelak ketawa tetapi penuh berdisiplin.
ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan sekadar nasib, ini rezeki saya” – Harith Haiqal
Harimau Malaya akan meneruskan latihan hari kedua di venue yang sama pada Isnin dengan Pan-gon pasti sudah mempunyai ramuan terbaik untuk memastikan Malaysia berjaya mencuri mata di Muscat untuk mengukuhkan lagi kedudukan di persada Kumpulan D.