EMPAT sahabat mula mengembara dengan mengayuh basikal dari Malaysia ke Makkah bermula hari ini, demi menunaikan ibadah haji bagi tahun 2024.

Menurut Ketua Misi Kayuhan, Che Saad Nordin, dia bersama tiga lagi rakannya yang berkongsi minat yang sama dan nekad mencabar keupayaan mereka melakukan ekspedisi berbasikal ‘Kembara Memburu Hikmah 3.0’.

Ketika dihubungi FLASH SUKAN, Che Saad yang mesra disapa Pak Ad sewaktu misi kayuhan dari Malaysia ke Makkah sejauh 12,000 kilometer itu, mereka akan menempuh tujuh negara dalam tempoh tujuh bulan perjalanan.

Menurut Pak Ad lagi, antara negara yang bakal dilalui termasuk Malaysia, Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dijangka tiba di Arab Saudi pada pertengahan Mei 2024.

Ujarnya, idea untuk mula berbasikal ke Makkah itu sebenarnya telah lama di rancang termasuk menyiapkan persiapan khusus tetapi tergendala beberapa kali ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Malah, penutupun pintu sempadan negara menyukarkan misi itu untuk direalisasikan sehinggalah segalanya dapat dipermudahkan pada tahun ini.

“Syukur Alhamdullilah, setelah ia tertangguh beberapa tahun akibat pandemik Covid-19, kami diizinkan Allah untuk meneruskan misi berbasikal ke tanah suci. Persediaan mental dan fizikal sudah kami lakukan termasuk semua urusan dokumentasi.

 

May be an image of bicycle

Basikal Che Saad yang akan menempuh kira-kira 12,000 kilometer sepanjang perjalanan.

“Terima kasih pada semua sahabat sahabat yang mendoakan serta memberi semangat. Jika ada komen yang saya tak sempat membalasnya saya memohon maaf.

“Hingga detik ini berdoa terus berdoa pada Allah demi satu perjuangan yang amat murni.

“Sekali lagi saya memaafkan semua sahabat-sahabat dan saya memohon saya dimaafkan jika ada apa apa salah saya.

“Doakanlah kayuhan kami berempat selamat sampai di bumi Makkah ..Aamiin Aamiin Aamiin,” katanya yang pernah bertugas sebagai wartawan sambilan Bernama di Baling, Kedah.

Selain Che Saad, 73, kayuhan itu turut diiringi pasangan suami isteri Ahmad Mohd Isa, 35; dan Noradilah Mohd Sapie, 36; serta kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), Abdul Halim Talha, 56.

Tambahnya, perjalanan yang bermula dari Kepong akan menyelusuri ke Kuala Selangor dan menuju ke Hutan Melintang di Perak.

“Kami akan melalui jambatan baru (Jambatan Sultan Nazrin Shah) di Bagan Datuk sambil melihat keindahan Sungai Perak seterusnya berkayuh menghala ke utara. Saya haraplah usaha kami ini boleh dijadikan contoh kepada semua golongan bagi menanam semangat ke Makkah,” ujarnya berterima kasih kepada Golden Hajj Travel and Tour Sdn Bhd atas kesudian menaja ekspedisi kali ini.

 

May be an image of 1 person, bicycle and grass

Che Saad sudah lebih 18 kali mengayuh basikal mengelilingi Semenanjung Malaysia.

Bagi menjayakan misi kayuhan itu, dia mengamalkan pemakanan sihat bagi memastikan kekal bertenaga dan mengambil makanan dan minuman tidak memudaratkan kesihatan yang akan merencatkan misi kayuhan yang panjang dan penuh mencabar itu.

“Walaupun berdepan dengan keadaan cuaca yang kadang kala bertukar panas, mendung mahupun hujan, kami akan berusaha menamatkan kayuhan ini sebagaimana dirancang.

“Setiap hari saya akan mengambil sebiji vitamin, buah-buahan, sayur-sayuran, air kosong dan sedikit nasi bagi membekalkan tenaga yang mencukupi. Saya juga akan pastikan tubuh mendapat rehat yang cukup sebelum meneruskan kayuhan untuk mengelak ditimpa masalah kesihatan,” katanya.