MINGGU kedua Liga Wanita Nasional (LWN) menyaksikan kesemua pasukan pilihan kejohanan berjaya mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing dan mengukuhkan kedudukan di dalam carta liga.
Apa yang mencuri tumpuan pada aksi minggu kedua ini adalah kejayaan penyerang kebangsaan, Intan Serah menjaringkan ‘double hattrick’ untuk membantu Kelana United menewaskan Real CJ FC 7-0 dalam aksi di Bertam, Pulau Pinang sekaligus merampas kedudukan teratas liga.
Intan yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui kejayaannya itu adalah hasil kerjasama sepasukan dan bukannya individu selain dia berharap pasukannya dapat mengekalkan momentum kemenangan ini.
“Syukur atas kejayaan ini sebab saya tidak dapat jaringkan gol pada perlawanan pertama. Tahniah kepada rakan-rakan sepasukan kerana mereka banyak membantu saya mencipta enam gol ini dan harap kami akan terus konsisten mencipta kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Selangor FC pula bangkit dari kekalahan pada perlawanan pertama dengan menjadikan Red Eagles SC sebagai mangsa dengan kemenangan 5-0 sekaligus mengutip tiga mata pertama musim ini dan melonjak ke tangga ketiga.
Malaysian University yang juga tewas pada perlawanan pertama kembali bangkit dengan kemenangan 4-0 keatas Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dalam aksi di Shah Alam untuk kembali merapatkan jurang dengan pendahulu.
Juara bertahan LWN, Sabah tidak mempunyai masalah mencatat kemenangan kedua selepas menewaskan Melaka 1-3 di Stadium Hang Tuah yang dilihat bakal menjadi pemangkin semangat buat anak-anak buah Justin Ganai untuk mempertahankan kejuaraan.
Kelana United kini di tangga teratas liga dengan enam mata berkongsi dengan Sabah tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan manakala Selangor, Malaysian University, Melaka dan SSMP masing-masing di tempat ketiga hingga keenam dengan tiga mata.
Dua wakil utara, Red Eagles dan Real CJ masing-masing menghuni dua tangga terbawah liga lapan pasukan ini tanpa sebarang mata dan tanpa sebarang jaringan dapat dilakukan selepas berakhir dua perlawanan.
Empat perlawanan bakal berlangsung untuk minggu ketiga LWN dengan tumpuan pastinya terarah kepada pertemuan Sabah dan Kelana United di Likas pada 20 Julai 2024 selain Red Eagles akan bertemu SSMP di Stadium Darul Aman.
Selangor pula akan bertandang ke Pulau Pinang untuk bertemu Real CJ manakala Melaka akan melayan kunjungan Malaysian University pada 21 Julai 2024 di Stadium Hang Tuah.