ENAM kejohanan antarabangsa dimasukkan dalam kalendar persiapan penembak negara, Johnathan Wong Guanjie, dalam usaha mendapatkan momentum terbaik ke Sukan Olimpik Paris.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebangsaan Menembak Malaysia (NSAM), Hayati Shamsuri berkata, kebanyakan kejohanan yang bakal disertai Olimpian negara itu, berstatus kecil bagi membolehkannya melangkah ke pentas final.
Katanya, penembak berusia 31 tahun itu akan menyertai tiga kejohanan di Denmark selain menyertai Piala Dunia di Munich, Jerman pada Mei 2024 sebagai persediaan ke Paris.
“Selepas Johnathan disahkan layak ke Olimpik Paris 2024 secara merit, kita sudah melakukan perancangan untuk menghantarnya menyertai sekurang-sekurangnya lima atau enam kejohanan di pentas antarabangsa.
“Kita mencari kejohanan kecil agar Johnathan mudah untuk ke final kerana kita tahu sukarnya untuk melepasi saingan ke final seperti kejohanan peringkat dunia mahupun Asia.
“Langkah awal itu kita buat supaya Johnathan mendapat feeling bersaing di pentas final sekali gus mampu membawa momentum terbaik itu ke Paris nanti.
“Kita juga mendapat kebenaran oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Johnathan akan mendapat pendedahan awal ke pentas antarabangsa,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama MSN, di Bukit Jalil.
Paris akan menjadi penampilan kedua Johnathan di Olimpik selepas tampil kali pertama pada edisi Rio 2016.