PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengantung 21 kelab Asia Tenggara termasuk enam kelab dari Liga Malaysia daripada menandatangani pemain baharu bagi musim 2024/25.

Berdasarkan hantaran Asean Football di laman media sosialnya, satu pengkalan data baru diwujudkan oleh Fifa dengan mengemaskini kelab-kelab yang dilarang menandatangani pemain baru bagi musim akan datang.

Enam kelab dari Liga Malaysia yang disenarai pendek ialah Kuala Lumpur City FC, Kedah Darul Aman FC, Kelantan FC, Melaka United, Sarawak United dan Perlis FA.

Dalam kemaskini baru itu, pasukan yang masih aktif dalam saingan Liga Super Malaysia musim lepas seperti KL City FC telah digantung sejak 1 Februari 2024, Kedah D.A FC (4 Mac 2024) dan Kelantan FC (8 Mac 2024).

Antara kelab-kelab Asia Tenggara yang digantung daripada membeli pemain baharu. (Sumber Gambar: Asean Football)

Ini telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila pasukan The City Boys dan Sang Kenari telah mengumumkan pemain-pemain baharu bagi musim yang mendatang dan jika mereka dilarang daripada mendaftar pemain baharu, maka mereka perlu gunakan pemain yang sedia ada bagi menghadapi saingan liga.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberitahu dalam satu kenyataan bahawa pihak First Instance Body (FIB) sudah mengambil maklum tentang proses pembayaran yang telah dilakukan oleh kedua-dua pasukan ini dan bakal mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Kedah dan KL City dikenakan sekatan selama tiga tempoh perpindahan.

“Kedua-dua kelab sedang berusaha untuk membuat pembayaran. Sekiranya terdapat perbezaan, itu perlu dinilai atas beberapa faktor. Kita perlu semak sama ada perkara itu dalam atau di luar kontrak.

“MFL bakal meneliti dokumen yang diterima selari dengan maklumat yang dinyatakan,” kata Stuart Ramalingam ketika ditemui media baru-baru ini.