ENAM muka baharu memburu tempat untuk mendapatkan kaps pertama dalam skuad hoki kebangsaan selepas ketua jurulatih, Sarjit Singh mengumumkan senarai 30 pemain bagi menjalani latihan pemilihan fasa kedua.
Enam pemain terbabit, Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi, menjadi antara pemain yang diharap menonjolkan diri selepas melepasi saringan awal 46 pemain dalam fasa satu yang berakhir 31 Mac.
Pengurus pasukan hoki kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, 30 pemain itu akan disenarai pendek sebelum skuad 18 pemain diumumkan bagi menggalas cabaran pada kempen Piala Sultan Azlan Shah.
“Senarai 30 pemain ini akan menjalani latihan peringkat kedua sebelum kita mengumumkan skuad terakhir 18 pemain, selepas perlawanan persahabatan menentang New Zealand. Insya-Allah 1 Mei kita akan umum 18 pemain yang akan menggalas tugas di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh,” kata Ahmad Najmi pada sidang media mengumumkan senarai 30 pemain skuad senior kebangsaan, hari ini.
Selain enam pemain yang belum pernah membuat penampilan antarabangsa itu, Sarjit turut memilih empat pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja tahun lalu ke dalam senarai 30 pemain itu.
Mereka adalah Muhammad Faris Harizan, Mughni Mohamad Kamal, Alfarico Lance Liau Jr dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari yang juga pemain paling muda berusia 18 tahun.
“Kami akan beri peluang kepada semua pemain. Sejak daripada awal lagi saya sudah beritahu yang kami perlu menilai mereka selepas 25 hingga 30 perlawanan,” katanya.
Pemain senior yang cukup berpengalaman berada dalam senarai 30 pemain itu termasukpenjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman, Fitri Saari, Faizal Saari, Syed Muhammad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Najib Hassan, Marhan Jalil.
Pada saingan Piala Azlan Shah yang dijadual berlangsung dari 4 sehingga 11 Mei depan, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.
Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.