PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengesahkan Malaysia kini mempunyai enam orang pengadil bertaraf Fifa di poket baju mereka ketika mengadili perlawanan.
Keenam-enam pengadil ini bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak tempatan dan kehadiran mereka sebagai si baju hitam dalam setiap perlawanan menaikkan kredibiliti dan mutu permainan yang diadili.
Razlan Jofri Ali, Amirul Izwan Yaacob, Nazmi Nasarudin, Suhaizy Sukri, Tuan Mohd Yassin serta Usaid Jamal adalah enam pengadil utama manakala sembilan lagi pengadil dipilih sebagai pembantu pengadil kelas Fifa.
Selain bola sepak, Fifa turut mengesahkan empat pengadil futsal Malaysia sebagai pengadil antarabangsa dengan Nurul Atikah Jannah muncul satu-satunya pengadil wanita yang ada dalam senarai yang dikeluarkan.
Tambah menarik, Malaysia juga kini mempunyai pengadil Fifa dalam kategori bola sepak pantai apabila dua orang pengadil kini disahkan sebagai pengadil antarabangsa.
Namun begitu Malaysia masih ketinggalan dalam kategori pengadil bantuan video dan pengadil wanita apabila tidak ada seorang pun pengadil yang ditauliahkan sebagai pengadil Fifa.
ARTIKEL BERKAITAN: “VAR akan digunakan tahun ini” – Presiden FAM
Kecekapan pengadil-pengadil Fifa ini ketika beraksi bakal dibantu teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang akan digunakan bermula tahun ini seperti yang baru sahaja diumumkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin
Semoga aksi perlawanan akan bertambah menarik dengan ilmu pengadilan yang tinggi yang ada pada pengadil dan juga bantuan teknologi yang terbukti banyak membantu pembuatan keputusan yang lebih baik.