ENAM tahun lalu, Safuwan Baharudin menjadi antara watak yang menghancurkan impian Selangor merangkul Piala FA namun kini dia dijulang bak wira apabila memimpin skuad Red Giants mara ke final sekali lagi buat kali ke-9.
Dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA semalam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kapten Selangor itu mencetuskan kebangkitan luar biasa dengan meledak hatrik untuk menumpaskan Terengganu FC 4-1 sekali gus menempah slot ke final dengan agregat 6-4.
Pastinya malam yang cukup indah buat Safuwan yang pernah mengecewakan Selangor ketika membantu Pahang menang 2-0 di pentas final Piala FA 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Selangor kalah dengan Pahang pada waktu itu saya bersama Pahang jadi saya tahu keperitan ke final dan kekalahan yang dirasai oleh Selangor. Buat masa sekarang kami cuma fokus kepada baki perlawanan (sebelum final), kami ada perlawanan Piala Sultan Selangor, perlawanan Liga dengan Kelantan, Sabah dan kemudian final. Ada dua minggu untuk kami berehat dan memulihkan prestasi,” katanya.
Dalam aksi yang turut mencuri tumpuan dengan kehadiran semula Faisal Halim dalam skuad selepas insiden serangan asid pada Mei lalu, Safuwan memastikan malam gemilang Selangor dengan meledak gol di minit ke-3, 6 dan 54 sebelum pemain gantian Reziq Banihani menyumbat gol keempat di hujung perlawanan.
Bagi pemain import Singapura itu, dia memuji kesungguhan semua rakan sepasukan sejak awal wisel permainan bagi memastikan mereka tidak mengulangi nasib sama ketika berdepan Kuching City FC di suku akhir di mana mereka diheret ke penentuan sepakan penalti.
“Saya tak tahu nak cakap apa, tapi sebagai pemain pasti amat menyukai malam seperti ini, dengan keputusan malam ini bukan hanya kerana saya menjaringkan gol tapi sebab kita bangkit daripada perlawanan yang tak berprestasi seperti malam ini, kredit kepada semua pemain, penyokong.
“Dalam bola sepak kalau kita gol awal tidak 100 peratus kita akan menang, tengok macam mana Terengganu dapat bangkit dengan gol Ismaheel Akinande, tapi bila kita dapat gol awal ia akan memberikan semangat.
“Kredit buat semua pemain kerana kami semua datang untuk menang, tak nak jadi macam menentang Kuching City terpaksa bermain di masa tambahan dan penalti,” katanya.