MESYUARAT Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) kali pertama pada 2024 memutuskan untuk meletakkan fokus kepada enam teras utama bagi menaikkan semula nama Melaka dalam kancah bola sepak negara.

Menerusi mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri, MAFA memutuskan fokus utama mereka adalah pasukan pembangunan seperti Piala Presiden, Piala Belia, Futsal Lelaki, Bola Sepak Wanita dan membawa penyertaan pasukan Bola Sepak Pantai Lelaki. Semua penyertaan ini dalam saingan liga mestilah memberi sesuatu impak yang baik kepada nama persatuan.

Bagi penyertaan ke Liga Super bagi tahun 2024, MAFA kini di peringkat perbincangan bersama kelab-kelab Liga M3 untuk memperhalusi penyertaan Melaka untuk beraksi di Liga Super. Banyak perkara perlu diteliti oleh MAFA termasuk mendapatkan pandangan daripada Amateur Football League (AFL).

Selain itu Jawatankuasa Eksekutif sebulat suara untuk terus mengekalkan 75 Kelab Gabungan bagi tahun 2024-25 bagi memastikan kelab-kelab ini terus aktif menyertai pertandingan Liga Tempatan yang dianjurkan.

Persatuan juga berhasrat mewujudkan Akademi Bola Sepak MAFA bagi memberi peluang dan ruang kepada generasi baru bagi mengikuti aktiviti yang dianjurkan.

Selain itu, MAFA juga bertekad dan komited dalam menaik mutu dan taraf sukan bola sepak negeri Melaka agar nama Melaka kembali sebagai salah satu kuasa bola sepak negara.

MAFA yang menyambut 100 tahun penubuhannya pada tahun ini memerlukan nafas baharu bagi membawa dan melahirkan pemain-pemain berkualiti dari negeri Melaka.