DALAM usaha mengangkat martabat sukan ragbi khususnya di peringkat akar umbi, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) telah menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat Enervive Sport pada Rabu.

Menerusi kerjasama itu, Enervive Sports, menerusi jenama sukan EV, menjadi penaja rasmi pakaian pengadil kebangsaan untuk kejohanan-kejohanan utama kebangsaan termasuk Piala Agong, National 7’s, dan Kejohanan 15-sebelah wanita, serta kejohanan kelolaan Enervive Sports seperti Super Schools Rugby (SSR) dan Corporate Super Rugby.

Kerjasama itu dijalinkan secara rasmi dalam satu Majlis Memeterai Perjanjian Penajaan dan Kerjasama Strategik di antara KRM dan Enervive Sports yang diadakan di Subang, dan disempurnakan oleh Presiden KRM, Amir Amri Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin.

“Kerjasama kami dengan Enervive Sports adalah penting dalam menaikkan lagi mutu sukan ragbi, khususnya pembangunan di peringkat akar umbi.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports.

“Kerjasama menerusi penyediaan pakaian rasmi terbaik bagi barisan pengadil di samping program pembangunan unit kepengadilan, diharap menjadi satu titik mula dalam mengangkat martabat sukan ini,” kata Amir ketika ditemui pada Rabu.

Shahrizin turut menyatakan rasa terujanya kerana dipilih menjadi rakan strategik selama setahun dan mungkin akan berterusan, mengikut kepada persetujuan kedua-dua pihak.

“Di Enervive Sports, kami sentiasa percaya dan menyokong pembangunan sukan dari segi semua aspek. Kami berharap kerjasama dengan Malaysia Rugby ini melambangkan komitmen kami dalam mengangkat profesionalisme sukan ragbi secara menyeluruh,” tambahnya.

Pakaian rasmi pengadil Malaysia Rugby jenama EV bakal digunakan sepanjang tahun ini, bermula dengan kejohanan Super Schools Rugby (SSR) kelolaan Enervive Sports yang bakal bermula 4 Jun nanti.