PEMAIN tengah skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Mohammad Saiful Jamaluddin mengakui bahawa pasukannya masih perlu memperbaiki beberapa aspek perkara bagi memastikan kemenangan yang berterusan untuk perlawanan persahabatan seterusnya.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido telah menampilkan persembahan cemerlang dalam aksi persahabatan pertama bertemu pasukan India pada Jumaat, sekali gus menyaksikan keputusan 2-1 pada perlawanan tertutup tersebut.

Saiful antara pemegang watak di bahagian tengah bagaimanapun enggan terus mendabik dada dengan kemenangan semalam, dan ingin memastikan bahawa skuadnya dapat menambah baik prestasi pada aksi perlawanan seterusnya.

Skuad kendalian Juan Torres sedang menjalani sesi latihan di Petaling Jaya pada Sabtu.

Tambahan lagi, pemain berusia 22 tahun itu turut mendedahkan bahawa latihan yang dijalani semasa bulan puasa ini telah berjalan dengan lancar, dan masing-masing dapat berikan komitmen terbaik terhadap apa yang diminta oleh jurulatih.

“Pada perlawanan semalam, kami cuba terapkan apa jua perkara yang jurulatih ajarkan kepada kami. Bagaimanapun, banyak yang perlu diperbaiki untuk kita hasilkan keputusan yang masih positif pada perlawanan akan datang.

“Antara yang perlu ditambah baik adalah dari segi set pieces, corak pertahanan, bahagian serangan dan mencipta gol untuk kami dapat kekalkan hasil terbaik di perlawanan kedua nanti.

Saiful Jamaluddin mahu pasukannya kekal mendapatkan keputusan cemerlang pada perlawanan akan datang.

“Memang semua pemain idamkan kemenangan, tetapi kita tidak tahu kita akan kalah atau menang namun kami semua akan cuba beri kemenangan,” ujarnya ketika ditemu bual semasa sesi latihan skuad B-23 dijalankan.

Skuad B-23 dijadualkan bakal menjalani empat lagi perlawanan persahabatan iaitu seterusnya menentang pasukan sama, India pada 25 Mac depan, China pada 3 April, Qatar pada 6 atau 7 April dan satu lagi perlawanan persahabatan yang sedang dicari untuk melengkapkan lima aksi persahabatan.

Inisiatif ini bagi mendapatkan keserasian antara pemain dan jurulatih seterusnya menguji kekuatan mereka, menjelang kempen Piala Asia B-23 di Doha, Qatar yang bermula pada 15 April hingga 3 Mei 2024.