PENYERTAAN sulung Enrique Maccartney Harold memastikan penguasaan Malaysia selepas dia memenangi pingat emas untuk membantu negara menyapu bersih semua acara terjun pada Sukan SEA 2023, di sini hari ini.

Dalam acara 10 meter (m) platform lelaki yang diadakan di Pusat Akuatik Morodok Techo, Phnom Penh, Enrique, 20, berada dalam kelas tersendiri apabila mengumpul 442.95 mata selepas enam pusingan terjunan, untuk menghadiahkan emas keempat Malaysia dalam acara terjun.

Lebih manis, Malaysia menikmati penamat satu-dua podium apabila seorang lagi penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises, memperoleh perak dengan 384.00 mata

Gangsa menjadi milik Shen Oon Max Lee dari Singapura yang mengumpul 362.80 mata.

 

“Saya enjoy dengan game dan buat yang terbaik (masa perlawanan). Saya kini dah sedia untuk jadi macam mereka (senior).

“Tumpuan selepas ini adalah mendapatkan pingat di Kejuaraan Dunia dan beraksi di Sukan Asia,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Untuk rekod, acara terjun Kejohanan Akuatik Dunia 2023 akan diadakan dari 14 hingga 22 Julai 2023 di Fukuoka, Jepun.

Terdahulu, Kimberly Bong dan Syafiq Puteh merangkul gelaran 3m papan anjal wanita dan lelaki sebelum Lee Yiat Qing mempamerkan penampilan sulung hebat dengan memenangi gelaran individu 10m platform wanita pada Rabu.

Pada Sukan SEA di Hanoi tahun lepas, Malaysia meraih kesemua lapan pingat emas dipertaruhkan tetapi hanya acara individu dipertandingkan di Phnom Penh kali ini.