BAHANG saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) semakin dirasai, dan tentunya debaran menyelubungi pemain muda yang kali pertama beraksi dalam pasukan senior.
Itulah yang dirasai bintang dalam pembikinan, Eogene Ewe, pemain termuda dalam pasukan lelaki yang membawa misi mempertahan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.
Meskipun gementar, Eogene, 19, tetap mahu membuktikan bahawa dia sudah bersedia menggalas cabaran di peringkat senior dengan membalas kepercayaan barisan jurulatih selepas disenaraikan menghadapi saingan di Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini.
Pemain yang berada pada kedudukan ranking paling rendah iaitu ke-312 dunia itu, dipilih berbanding beberapa senior seperti Aidil Sholeh Ali Sadikin untuk mengisi salah satu daripada empat slot perseorangan lelaki bersama Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, dan Leong Jun Hao, bagi memperkuat sektor perseorangan lelaki.
Eogene dijangka diturunkan sekurang-kurangnya satu perlawanan peringkat kumpulan terutamanya aksi menentang Brunei dan Kazakhstan.
“Bagaimanapun, ia bukan satu tugas yang mudah untuk saya. Ini kali pertama saya beraksi dalam acara kejohanan besar seperti ini, jadi saya akan melakukan yang terbaik untuk memberikan satu mata jika saya diturunkan.
“Saya rasa satu penghormatan besar dapat berada dalam skuad BATC kerana bagi saya, pemain lain yang dalam lingkungan umur saya ialah Alwi Farhan dari Indonesia.
“Saya berharap dapat berpeluang bermain di BATC, mungkin semasa perlawanan menentang Kazakhstan,” kata Eogene.
Bagaimanapun, dia juga perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi diturunkan andai mana-mana daripada tiga pemain utama mengalami kecederaan.
Selain Brunei dan Kazakhstan, Malaysia turut diundi bersama Taiwan dalam Kumpulan B.
Ketika ini, Tze Yong masih belum pulih dari kecederaan belakang yang dialami ketika Terbuka Malaysia, awal bulan lalu manakala Jun Hao sebelum ini sering dihantui dengan kecederaan.
Jika dia perlu mengisi perseorangan ketiga, Eogene mungkin akan menentang pemain seperti bekas pemain No. 1 dunia K. Srikanth dari India, Lei Lan Xi dari China, dan juara dunia remaja dunia, Alwi Farhan.
“Ini adalah peluang yang diberikan oleh jurulatih kepada saya. Mungkin kerana mereka mahu membentuk pemain muda, jadi mereka menyenaraikan saya dalam pasukan.
Eogene, berkata peralihannya ke pasukan senior berjalan lancar dan dia teruja untuk mengharungi ujian pertamanya di Cabaran Antarabangsa Sri Lanka yang bermula Isnin ini.