DINAIKKAN ke skuad senior dan terus diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama pemain utama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Eogene Ewe tidak dapat membayangkan betapa bertuahnya dia, ketika ada pemain lebih senior diletakkan dalam kumpulan B selain tiga lagi digugurkan.
Pemain kelahiran Bagan Serai, Perak itu berkata, pemilihan barisan kejurulatihan itu membuatkan dia lebih menghargai peluang dan mahu membalasnya dengan prestasi terbaik, sebaik musim 2024 bermula.
Eogene, 18, berkata, keriernya sebagai pemain badminton pada tahun 2023 lebih baik berbanding tahun sebelumnya, namun masih tidak mencapai sasaran peribadinya untuk menempatkan diri dalam kelompok ranking 100 teratas.
“Selepas dipilih ke skuad senior dan diletakkan dalam kumpulan A, saya yakin tahun hadapan lebih baik buat saya, kerana akan dapat beraksi di banyak kejohanan senior.
“Saya sasarkan untuk mula bermain dalam kejohanan Jelajah Dunia Super 500 dan 750, jadi saya perlu naikkan ranking terlebih dahulu,” kata Eogene, yang mendapat cuti bagi meraikan sambutan Krismas bersama keluarga.
Selasa lalu, ABM mengumumkan pengguguran tiga pemain, Lee Shun Yang, Chia Jeng Hon dan Rex Hooi Shao Ting daripada skuad kebangsaan, selepas mendapati tiga pemain terbabit mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan ketika menyertai kejohanan antarabangsa.
ABM menerusi Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky dan jurulatih perseorangan Hendrawan, turut membahagikan pemain senior kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan A terdiri daripada Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Eogene.
Manakala kumpulan B pula terdiri daripada Shaqeem Eiman Shahyar, Chua Kim Sheng, Ong Ken Yon, Ong Zhen Yi dan Jacky Kok.
Mengakui teruja untuk pulang bercuti di Bagan Serai selepas 8 bulan tidak bersama keluarganya, pemain muda ini ternyata bersemangat mahu mencabar diri untuk memasuki kelompok 60 terbaik sehingga hujung tahun ini.
Dia yang kini berada di ranking ke-319 dunia memberitahu, dia kini berada dalam fasa pembentukan fizikal.
“Saya rasa memiliki fizikal yang steady amat penting kerana kejohanan boleh dikatakan setiap minggu ada, jika tidak ada kekuatan fizikal amat sukan.
“Saya lihat Ng Tze Yong sendiri, dia tahu apa yang diperlukan seperti kelemahan pada pergerakan jadi dia memperkuatkan fizikal terutamanya di bahagian bawah badan,” ujarnya lagi.
Setelah kira-kira menjalani latihan bersama Tze Yong, Ng Jun Hao dan Justin Hoh, Eogene mengakui ada perbezaan namun peluang itu digunakan sebaiknya.
Sepanjang 2023, Eogene muncul naib juara Kejohanan Remaja Terbuka Jerman di Berlin pada Mac, yang menyaksikannya tewas di final kepada Yudai Okimoto dari Jepun.
Namun dia juga memiliki satu kejuaraan iaitu Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia September lalu, dengan menewaskan rakan sengera, Lee Jan Jireh di final.
Selain itu, Eogene melangkah ke suku akhir Kejohanan Pembangunan Grand Prix Remaja Jaya Raya, Indonesia (Julai) dan kejohanan senior Terbuka Austria.