PENAUNG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar percaya era kebangkitan pasukan dari utara tanah air sedang bermula.
Menerusi satu rakaman video dalam Facebooknya, Mohd Daud membakar semangat pemain Sang Kenari untuk terus maju jaya dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
“Jatuh memang mudah. Terus duduk mengeluh kejatuhan dan kekalahan lagi mudah. Ini memang biasa dalam lumrah kehidupan.
“Untuk bangkit semula selepas jatuh adalah luar biasa. Bukan semua orang boleh bangkit semula,” katanya yang juga tokoh usahawan tanah air.
Beliau berkata, Kedah FC di bawah kejurulatihan jurulatih Aidil Sharin Sahak telah menyediakan resepi kebangkitan semula.
“Semuanya menjadi dengan izin Allah dan dipermudahkan dengan kedatangan tiga pemain baharu (Akmal, Sanwarat dan Mahmood al-Mardi) sebelum bermulanya pertandingan AFC di Bali.
“Dalam era kebangkitan semula, sokongan dan doa semua pihak khususnya penyokong Kedah FC yang sentiasa mengilhamkan dan menginspirasikan amat kami dambakan dan hargai.
“Marilah kita bangkit semula dengan penuh kesungguhan, komitmen dan kreativiti. Ini skrip saya. Skrip coach Aidil pula ialah 3D: Discipline, Determination and Dedication (disiplin, kejituan minda dan sikap dan dedikasi),” katanya lagi.
Mohd Daud juga berterima kasih semua penyokong Hijau Kuning yang sentiasa bersama pasukan sama ada semasa mereka terbang rendah atau terbang tinggi.
“Anda adalah penyuntik dan pembakar semangat kami semua.
“Biar rebah sekali, bangkit berkali-kali.
“Memang Kedah pantang kalah,” ujarnya lagi.