JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak menunggu lama untuk memantapkan pasukan apabila sudah mula merancang kempen pramusim 2024 sejurus berakhir kempen pramusim 2023 yang diadakan di Emiriah Arab Bersatu.
Menerusi lima perlawanan persahabatan antarabangsa di Dubai, JDT berjaya memenangi tiga perlawanan ke atas Levski Sofia, Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow manakala tewas dalam dua perlawanan kepada FC Rostov dan juara Russia Zenit St Petersburg.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Jurulatih yang juga Pengurus Pasukan JDT Esteban Solari, dia mengesahkan sudah berbincang dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membawa Harimau Selatan ke Eropah untuk kempen pramusim 2024.
This was exactly the match we needed to keep us humble and be on our toes before the start of the 2023 season.
[1/4] pic.twitter.com/HSZ5oPNJeO
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 7, 2023
Esteban atau mesra disapa Tano juga berkata JDT sememangnya memerlukan perlawanan menentang lawan dengan standard yang lebih tinggi bagi memastikan pasukannya lebih merendah diri dan dapat belajar sesuatu dari kempen pramusim ini.
“Ini adalah perlawanan yang kami sememangnya perlukan untuk memastikan kami ‘humble‘ dan tidak mengambil apa-apa dengan mudah sebelum bermulanya musim 2023.
“Dengan menentang lawan yang mempunyai standard yang lebih tinggi, dalam situasi ini berdepan juara Russia yang bermain di Liga Juara-Juara UEFA akan membantu kami untuk belajar dan bertambah baik. Ini adalah satu-satunya cara untuk kami menjadi lebih mantap dan lebih kuat.
“Saya telah berbincang dengan ‘Boss’ (DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor) dan berkemungkinan kami akan mengadakan kempen pramusim di Eropah pula pada tahun hadapan,” tulis kenyataan itu.
JDT mengakhiri kempen pramusim dengan kekalahan kepada juara Liga Russia, Zenit St Petersburg 3-0 dan Tano berpendapat ini adalah satu-satunya cara untuk mereka menjadi lebih baik.
Harimau Selatan akan kembali ke Iskandar Puteri untuk melakukan persiapan terakhir menjelang sepak mula Liga Malaysia dan juga kejuaraan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.