ATLET  terjun negara, Nur Dhabitah Sabri dinobatkan sebagai Olahragawati Masum (Majlis Sukan Universiti Malaysia) 2022 mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Muhammad Erry Hidayat yang merupakan atlet angkat berat sebagai Olahragawan mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM).

Anugerah kemenangan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Bagaimanapun Dhabitah tidak dapat hadir ke majlis memandangkan dia kini berada di Jepun sedang menjalani Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka.

Muhammad Erry menerima hadiah Olahragawan Masum 2022

 

Dhabitah dan Muhammad Erry menerima hadiah berupa piala pusingan, wang tunai berjumlah RM3,000, trofi iringan pemenang, sijil penghargaan, dan trofi iringan calon beserta sijil.

Berucap pada majlis tersebut,  Khaled mengakui atlet-atlet Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara telah mempamerkan prestasi cemerlang setelah berjaya menyumbang sebanyak 85 daripada 175 pingat yang diperolehi kontinjen negara pada Sukan SEA lalu.

Mohamed Khaled berucap dalam Majlis Anugerah Sukan Masum 2022

“Jumlah ini bersamaan 48.57 peratus atau hampir separuh daripada pungutan pingat negara di Sukan SEA yang lalu adalah disumbangkan oleh atlet-atlet IPT. Jadi, syabas dan tahniah saya ucapkan. Sudah pastilah pencapaian tersebut amat memberangsangkan.

“Ia membuktikan kita berada di landasan yang betul dalam membantu ekosistem kecemerlangan sukan negara. Namun, kita tidak boleh mudah berpuas hati. Sektor pendidikan tinggi negara mesti terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara kita dengan lebih bermakna,” ucap Khaled.

Selain itu, Khaled mengharapkan Anugerah Sukan Masum menjadi lonjakan buat atlet univesiti yang melibatkan diri dalam temasya sukan besar yang masih diadakan pada tahun 2023 ini terutama Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2023 dan Sukan Asia 2022.

Turut diadakan penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia 2023, Chengdu, China yang akan diadakan bermula 28 Julai hingga 8 Ogos depan melibatkan 96 atlet kontinjen Malaysia dalam 8 daripada 18 acara sukan dipertandingkan.