ATLET angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat yakin rekod angkatan keseluruhannya mampu menempatkan dia dalam kelompok 12 terbaik dunia, sekali gus melayakkan diri beraksi ke Sukan Olimpik Paris, 2024.
Begitupun, dia perlu melakukan angkatan itu pada kejohanan yang ditetapkan sebagai kejohanan kelayakan Olimpik, yang akan bermula Disember ini.
“Saya akan ambil bahagian di Kejohanan Dunia Disember ini sebagai kejohanan kelayakan Olimpik pertama. Sasaran adalah melakukan catatan sekurang-kurangnya 12 terbaik kerana itu tiket terakhir untuk layak beraksi di Paris 2024.
“Ketika ini, saya tidak ada ranking kerana sudah lama tidak ambil bahagian dai Kejohanan Dunia, namun berdasarkan Angkatan terbaik saya, saya berada sekitar ranking ke-16 hingga 12 dunia,” kata Erry, ditemui selepas menerima Insentif Kemenangan Atlet Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada Khamis.
Erry menerima insentif atas kemenangan pingat emas di temasya Sukma, pingat gangsa Sukan SEA Hanoi, pingat perak Sukan Komanwel Birmingham.
Menurutnya, persiapan menjelang Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabagnsa (IWF) 2022 di Bogota, Columbia 5 hingga 16 Disember ini, agak sukar buatnya kerana sibuk dengan jadual pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Sejak kembali dari Sukan Komanwel, agak sukar untuk saya fokus kepada latihan dan hanyba dapat berlatih sekali sehari, berbanding sebelum ini tiga kali sehari. Rutin harian kelas saya dari pagi hingga jam 12 tengahari atau hingga 4 petang, dan jam 4.30 hingga 7.30 baru saya jalani latihan,” kata Erry yang kini berada di semester kelima jurusan Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia.
Anak kepada lagenda angkat berat negara, Muhammad Hidayat Hamidon itu mempunyai rekod angkatan terbaik keseluruhan 316 kilogram (kg), 143kg dalam snatch dan 173kg dalam Clean & Jerk.
Catatan itu dilakukanknya di temasya Sukan SEA Hanoi, ketika meraih pingat gangsa, tewas kepada badang Thailand (perak) dan Indonesia (emas).
Sementara itu, pada temasya Sukan Komanwel di Birmingham, Erry melakukan angkatan keseluruhan 303kg (138kg snatch, 165kg clean&jerk), hanya meraih pingat perak dalam kategori 73kg yang dimenangi atlet India dengan angkatan keseluruhan 313kg.