ANUGERAH Sukan Wilayah Persekutuan 2021/2022  menyaksikan atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat dinobatkan sebagai Olahragawan manakala gimnas negara Ng Joe Ee pula meraih gelaran Olahragawati Wilayah Persekutuan.

Kedua-dua jaguh negara itu telah membawa pulang sebuah Piala Pusingan, ganjaran wang tunai sebanyak RM 8,000 dan juga tajaan barangan sukan jenama FELET bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Erry Hidayat berjaya mengatasi pesiang terdekat,  Steve Khiew selaku atlet renang dan juga S. Prem Kumar daripada karate.

Kejayaan berterusan telah dicipta oleh Erry apabila merangkul pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2021, pingat perak pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, pingat gangsa pada Sukan SEA Vietnam 2022 serta turut mencatat rekod baru kebangsaan dengan jumlah angkatan 310 kilogram kagi kategori 73 kilogram.

Segala usaha keringatnya telah membuahkan hasil lumayan apabila pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2022 sebelum ini.

Anugerah ini juga menyaksikan Erry sebagai atlet angkat berat pertama yang berjaya menerima gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan yang mula dianjurkan sejak 2007.

Sementara itu, gimnas wanita kebangsaan Ng Joe Ee pula telah berjaya mengatasi pencabarnya iaitu dua penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dan juga Wendy Ng Yan Yee.

Atlet muda berusia 18 tahun itu telah menonjolkan aksi cemerlang sepanjang tahun 2022 dan berjaya meraih dua pingat emas dalam acara disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel di Birmingham selain memenangi gelaran Olahragawati Kebangsaan 2022.

Selain itu, Anugerah Khas Wilayah Persekutuan pula telah dihadiahkan buat Soh Wooi Yik (badminton) dan Anugerah Olahrawan Harapan serta Olahragawati Harapan pula masing-masing diberikan kepada atlet silat iaitu Muhammad Khairi Adib Azhar dan Ain Najwa Muhamad Basri Darul.