ESL bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut kembali kejohanan ESL One bertaraf global yang dikuasakan oleh Intel® ke Malaysia, selaras dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab esukan Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim yang melakukan lawatan di lokasi kejohanan ESL One Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) memberikan respons positif penganjuran yang bermula 15 hingga 17 Disember ini.

“Pelan Strategik Pembangunan Esukan KBS 2020 – 2025, KBS telah menggariskan fokus untuk memupuk ekosistem esukan yang mampan merangkumi pemegang taruh di semua peringkat. Ini termasuklah dalam aspek pelaburan dalam infrastruktur dan pembangunan bakat serta penganjuran acara serantau dan antarabangsa di Malaysia, seperti ESL One.

“Selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai esports powerhouse di rantau Asia Tenggara, KBS ingin menjemput lebih banyak acara esukan yang bertaraf dunia seperti ESL One untuk menganjurkan liga dan kejohanan e-sukan mereka di negara ini.

“Semoga dengan usaha ini dapat memacu pertumbuhan industri esukan yang berterusan dan mampan di Malaysia,” katanya pada majlis sidang media ESL One Kuala Lumpur 2023 di Sheraton Imperial Hotel KL.

Hadir sama, Michelle Ng Mei Sze; Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI); Caitlin Kang, Pengarah Urusan ESL Malaysia; Eugene Hong, Pengurus Projek Kanan ESL One; dan JB Hewitt, Pengarah Urusan ESL Asia-Pasifik Jepun.

Sementara itu, Pengarah Urusan ESL Malaysia di ESL FACEIT Group, Caitlin Kang berbesar hati dengan peluang untuk mempamerkan pasukan Dota 2 terbaik dunia kepada peminat di Malaysia dan dari seluruh rantau.

“Dengan hadiah terkumpul USD 1 ,000,000 pada tahun ini dan lokasi yang lebih mudah diakses, kami sedia untuk menyambut ribuan peminat Dota 2 ke Kuala Lumpur hujung minggu ini, sekaligus meneruskan legasi ESL One di Malaysia,” ujarnya.

Pasukan yang akan bertanding dalam ESL One Malaysia 2023.

Tahun ini adalah tahun keempat kejohanan antarabangsa DOTA 2 tersebut dianjurkan di Malaysia dan perlawanan berlangsung di arena MITEC bermula 11 hingga 17 Disember ini.

12 pasukan DOTA terbaik dunia akan bersaing untuk merebut satu daripada enam tempat di Playoffs serta membawa pulang hadiah tunai 1 juta USD (RM 4.6 juta).