KETIKA atlet Esports negara lain sudah lama melakukan persiapan dan menamakan skuad ke Temasya Kemboja, berlaku sebaliknya dalam kem kebangsaan.
Sehingga kini, pemilihan atlet belum dibuat malah difahamkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang dalam perbincangan menukar kaedah pemilihan atlet.
Pengurus Projek Esport, Kelvin Pang berkata, MSN dan MOM dijangka menyelesaikan isu pemilihan pemain minggu ini.
Beliau yang juga bekas Pengurus Esport ke Sukan Sea Hanoi memberitahu, kaedah baharu pemilihan itu akan diumumkan MSN dan beliau yakin akan menggunakan kaedah terbaik kerana akan dikendalikan pakar dalam sukan berkenaan.
“Apa yang saya tahu, kaedah pemilihan kali ini lebih baik dan tidak sama seperti pemilihan ke Sukan Sea 2019 dan 2021.
“Sejujurnya, memang sudah agak lewat kerana sehingga kini belum ada pemilihan atlet dibuat berbanding pasukan negara lain. Sepatutnya hal ini sudah diselesaikan awal Januari lalu, tapi tak mengapa, saya yakin ia akan diselesaikan segera,” kata Kelvin.
Katanya, berdasarkan prestasi di Hanoi, pasukan Esport negara pasti akan diletakkan di bawah kategori B, selepas gagal menghadiahkan walau satu pingat emas di temasya lalu.
Di Hanoi, skuad Esport negara membawa pulang tiga gangsa menerusi FIFA Online 4, Arena of Valor dan PUBG Mobile berpasukan.
Pada edisi 2019 di Manila, skuad Esport negara membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa.
Emas dimenangi dalam acara Hearthstone manakala gangsa menerusi acara Mobile Legends: Bang Bang.