KEJOHANAN eSports Piala Presiden Putrajaya yang dianjurkan semalam dan hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 600 orang peserta dari seluruh negara.

Kejohanan yang mempertandingkan lima acara eSukan iaitu Mobile Legends Bang Bang Terbuka (MLBB Open), Mobile Legends Bang Bang Tertutup Putrajaya (MLBB Putrajaya), PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile Open (PUBGM Open), eFootball Mobile Open dan eFootball Console Open menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM18,000.

Kejohanan ini adalah kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan eSports Putrajaya telah dianjurkan di Shaftsbury Putrajaya Mall yang disertai pelbagai pasukan eSports yang sedang meningkat naik.

Menurut Presiden eSports Putrajaya, Syed Fakhrurrozi Syed Agil, objektif utama penganjuran program ini untuk menjadikan Putrajaya sebagai hub eSukan di Wilayah Perseketuan disamping untuk mencari bakat-bakat baru dalam eSukan untuk mendapat pendedahan di peringkat lebih tinggi.

“Objektif kami menganjurkan program ini adalah untuk mengumpul peminat eSukan di Putrajaya sebelum berlangsungnya Hari Sukan Negara yang akan disambut minggu hadapan di samping untuk menjadikan Putrajaya sebagai hab eSukan di Wilayah Persekutuan.

“Melalui program ini juga pihak kami akan dapat mencungkil bakat-bakat baru bagi mendapat pendedahan di peringkat lebih tinggi lagi selepas ini”, katanya.

Kejohanan kali ini telah dirasmikan oleh Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj, Pengarah Urusan Syarikat Ikhasas Sdn Bhd yang juga telah menjadi penaja lokasi kejohanan.