KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari bersikap terbuka dalam menentukan perkembangan karier Arif Aiman dengan memberikan ruang kepada pemain muda sensasi itu untuk membuat keputusan sendiri.
Ini adalah susulan dari komen Solari pada awal musim lalu yang mengatakan dia mahu melihat Arif berkembang menjadi pemain yang lebih baik meskipun dia kini berada pada tahap terbaik dalam sejarah kariernya bersama JDT dan skuad kebangsaan.
“Saya sudah maklumkan pada dia bahawa dia boleh berkembang sehingga apa yang dia mahukan kerana pada akhirnya kualiti yang ada pada dirinya dan segalanya bergantung padanya untuk terus berkembang atau berpuas hati dengan tahap permainannya ketika ini.
“Perkara yang sama saya katakan padanya ketika rehat separuh masa bahawa segalanya bergantung padanya sama ada mahu meneruskan aksi seperti babak pertama dan tunjukkan pada semua betapa hebatnya anda bukan sahaja ketika menyerang tetapi bekerja sebagai satu unit ketika pasukan memerlukan anda.
“Pada saya dia adalah seorang pemain yang mempunyai karakter yang hebat dan dia tahu bila hendak membantu pasukan dengan bermain di pelbagai posisi namun begitu dia masih mempunyai banyak ruang untuk tunjukkan kepada kami,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.
Selain itu, Solari juga mahu melihat Arif berkembang pada masa yang tepat iaitu ketika JDT memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC pada September kerana Pemain Paling Bernilai (MVP) 2022 itu adalah aset penting buat Harimau Selatan.
“Saya berharap dia dapat mencapai tahap terbaiknya ketika kempen Liga Juara-Juara AFC kerana dia adalah pemain yang sangat penting buat kami,” tambahnya.
Arif Aiman mencipta sensasi apabila meledak hatrik terpantas ketika membantu JDT menewaskan Selangor FC 4-0 pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim sekali gus layak ke final buat kali kedua berturut-turut untuk menentang Kuala Lumpur City FC pada 22 Julai 2023.