JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal diterajui pengendali baharu untuk musim 2023 apabila pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan perkara ini ketika sesi temubual eksklusif yang disiarkan di platform media sosial rasmi kelab tersebut.

Menurut TMJ, Harimau Selatan bakal mendapat sentuhan pengendali dari Argentina, Esteban Solari yang sebelum ini menggalas jawatan Pengarah Teknikal Skuad Bawah 20 tahun Argentina.

Jurulatih berusia 42 tahun kelahiran Rosario itu bakal menggantikan tempat pengendali semasa JDT, Hector Bidoglio yang kini bakal menggalas jawatan Pengarah Teknikal baharu.

Pengendali baharu JDT, Esteban Solari

Sementara itu, Alistair Edwards yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Teknikal akan bertukar portfolio kepada Ketua Pegawai Eksekutif kelab yang akan terlibat dengan aktiviti harian dan komersil kelab.

Menurut Tunku Ismail perubahan ini perlu dilakukan kerana JDT sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak mahu berada pada tahap yang selesa meskipun menamatkan musim 2022 dengan nota yang gemilang.

Selain mengumumkan nama Ketua Jurulatih baharu, Tunku Ismail turut menyatakan JDT sudah menandatangani pemain import baharu untuk posisi penyerang, pemain tengah menyerang dan juga pertahanan kanan dengan kesemua pemain import sedia ada dikekalkan.

Pengambilan pemain import ini adalah sebagai sandaran kepada pemain import yang ada kerana Harimau Selatan perlu melakukan penggiliran pemain kerana mempunyai musim yang panjang apabila turut beraksi di Liga Juara-Juara AFC.

Dalam temubual eksklusif itu juga Tunku Ismail turut menjelaskan bahawa JDT tidak akan melakukan pelaburan yang besar untuk mengambil pemain tempatan kerana mereka akan menaikkan pemain dari pasukan pembangunan ke pasukan utama.

Meskipun menyapu bersih kesemua trofi domestik yang dipertandingkan, JDT tidak pernah berpuas hati dengan kejayaan itu dan kini sedang dalam proses transisi dan sudah pasti corak permainan Amerika Latin akan tetap diteruskan menerusi Esteban Solari.