PERANCIS akan menanti Belgium pada pusingan 16 Euro 2024 di Arena Dusseldorf, tengah malam ini,

Justeru itu, Kylian Mbappe berharap Perancis akan pulih selepas tidak menyakinkan semasa fasa kumpulan.

Persembahan Les Bleus semasa fasa kumpulan menjadi tumpuan kerana hanya menang sekali dan seri dua kali.

Bukan itu sahaja, Perancis juga mengalami kesukaran untuk menjaringkan gol dan hanya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan, ini juga datang dari gol sendiri lawan dan penalti Mbappe.

Mbappe menegaskan bahawa Perancis tidak bersedia untuk mengangkat beg pakaian lebih cepat dari bumi Jerman. Dia juga berkata bahawa Perancis boleh beraksi lebih baik.

“Kami harap Perancis akan bangun esok (tengah malam ini). Saya tidak fikir kami perlu mencari alasan. Kami tidak bermain di peringkat tinggi dalam fasa kumpulan, tetapi kami berjaya melayakkan diri dan kini kami mahu ke suku akhir, ” kata Mbappe seperti yang dipetik oleh laman web rasmi UEFA.

“Kami perlu menjadi lebih baik. Kami berdepan pasukan yang bagus dan jika kami tidak menang, kami akan pulang. Tiada siapa yang mahu pulang. Kami belum bersedia untuk bercuti.

“Kami sudah bersedia, kami tahu apa yang akan kami hadapi, kami tahu menentang Belgium ia akan menjadi sangat sukar, tetapi kami mempunyai pasukan yang betul, pemain yang betul dan seluruh skuad bersedia untuk menghadapi cabaran itu. Kami akan menunjukkannya di atas padang esok (tengah malam ini),” katanya.