JURULATIH Belgium, Domenico Tedesco melahirkan rasa kesalnya selepas pasukannya tewas kepada Slovakia pada Euro 2024.

Belgium tewas 0-1 kepada Slovakia dalam perlawanan pertama mereka di Jerman dengan gol daripada Ivan Schranz menjadi perbezaan dalam perlawanan itu.

Tedesco  yang menggantikan Roberto Martinez sebagai jurulatih percaya mereka mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan menentang Slovakia. Bagaimanapun, kegagalan  untuk memanfaatkan beberapa peluang bermakna mereka terpaksa menggigit jari.

Pun begitu, Tedesco tidak memilih mana-mana pemain tertentu apabila membincangkan kegagalan Belgium.

“Bagi saya, ini sangat menyakitkan, saya tidak mahu menuding jari kepada seorang. Anda boleh yakin kami akan bercakap tentang banyak perkara, tetapi kami akan melakukannya secara dalaman dan bukan melalui media.

“Kami mencipta banyak peluang besar. Sudah tentu, jika kami berjaya menjaringkan gol ia akan menjadikan permainan lebih mudah,” kata Tedesco.

Dua kali gol Lukaku tidak disahkan VAR.

Belgium terus mengasak sebaik sahaja perlawanan bermula dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Selepas keliru dibolosi, Belgium kembali tampil mengagumkan pada separuh masa kedua.

Detik paling penting ialah apabila dua gol daripada Romelu Lukaku dibatalkan oleh pengadil selepas pemantauan VAR.

Pada insiden pertama, Lukaku berada dalam kedudukan ofsaid manakala Lois Opanda yang memberikan bantuan kepada Lukaku terlebih dahulu diisytiharkan sebagai bola baling ketika mengejar bola.