KETUA jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, memuji kualiti dan kerjasama pemain yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perancis sekali gus mara ke final Euro 2024, kejayaan yang disumbangkan sepenuhnya pemain yang mahukan kejayaan.

De la Fuente berkata pemainnya memiliki kepelbagaian dan kualiti individu menakjubkan yang apabila digabungkan akan mencipta jenama bola sepak yang istimewa yang akan dipamerkan pada final nanti, tidak kira siapa lawan mereka antara England atau Belanda.

“Idea bola sepak kami ialah keyakinan diri. Ini cara kami mahu bermain, kami mahu bermain dengan kekuatan. Saya tahu kami boleh bermain bola sepak, kami sudah melihatnya sepanjang kejohanan,” katanya kepada media.

Pemain-pemain Sepanyol meraikan kejayaan ke final selepas perlawanan awal pagi tadi. (Sumber Gambar: AFP)

“Secara individu mereka menakjubkan tetapi mereka menawarkan kerjasama berpasukan daripada kualiti individu yang menguntungkan pasukan… mereka sentiasa bekerja untuk kebaikan bersama, usaha bersama.

“Mereka amat bagus dalam aspek usaha dan kerja keras. Ini adalah satu lagi tanda mereka adalah pasukan yang hebat, mereka mahu sentiasa meningkat dengan semangat berkorban.”

De la Fuente membalas kembali mereka yang mempersoalkan sebahagian keputusannya dalam memilih pemain sambil mengingatkan bahawa dia mengenali pemain terbaiknya selepas sekian lama bersama sebahagian besar daripada mereka.

Mbappe tidak mampu untuk mengulangi ‘magis’ Piala Dunia 2022 dalam saingan Euro 2024 kali ini. (Sumber Gambar: AFP)

“Saya mahu anda tahu ia mungkin mengejutkan anda lebih daripada kami, kerana kami tahu kemungkinan yang kami ada… saya mengenali pemain ini dan saya membuat keputusan berdasarkan berapa banyak saya mengetahuinya,” katanya.

De la Fuente memberi pujian tambahan buat Lamine Yamal, yang gol dijaringkan pemain itu digambarkan sebagai “sentuhan pintar.”

“Kami tahu siapa dia. Kami perlu menjaganya,” katanya.

“Saya mahu dia bekerja dengan rasa rendah diri yang sama, terus dengan cara yang sama dalam usaha untuk terus meningkat, perwatakan yang sama dan profesionalisme, kematangan itu akan dapat ditunjukkan dalam padang.”