KYLIAN Mbappe kembali ke latihan Perancis pada Rabu buat pertama kali sejak patah hidung pada pembukaan Euro 2024.

Tetapi Didier Deschamps mengesahkan kaptennya akan memerlukan pembedahan, kemungkinan besar selepas kejohanan.

Perancis mendapatkan topeng buatan khas untuk Mbappe, yang berlatih bersendirian di pangkalan mereka di Paderborn sebelum menyertai latihan akhir bersama rakan sepasukannya yang lain.

Mbappe memakai jalur penutup luka di hidungnya dan terhad kepada senaman tanpa sentuhan.

Penyerang Real Madrid berusia 25 tahun itu dijangka terlepas perlawanan Perancis menentang Belanda pada Sabtu di Leipzig tetapi Persekutuan Bola Sepak Perancis optimis dia akan kembali tepat pada masanya untuk beraksi di kejohanan itu.

Pada Rabu Mbappé menyiarkan di Instagram: “Sans risqué il n’y pas de victoires” (tanpa risiko tiada kemenangan) – dengan emoji muka tersenyum.

Mbappe menjalani ujian di hospital Düsseldorf selepas berlanggar dengan pemain Austria, Kevin Danso dan Deschamps berkata kakitangan perubatannya terus memantau keadaannya.

“Walaupun tidak ada pembedahan serta-merta, dia perlu melakukannya selepas kejohanan,” kata pengurus Perancis itu.

“Pagi ini (Rabu) dia sudah lebih baik sedikit, jadi kita akan lihat. Kami akan mengikutinya dengan teliti setiap hari.”

Sementara itu, pemain tengah Les Blues, Adrien Rabiot berkata dia yakin Mbappe akan kembali beraksi dengan cepat.

Rakan kelabnya di Juventus dan penjaga gol Poland Wojciech Szczesny menjalani pembedahan selepas hidungnya patah pada April.

Image

Adrien Rabiot percaya Mbappe akan kembali beraksi dengan cepat.

Perancis menentang Poland dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Dortmund hari Selasa.

“Hidung patah bukanlah akhir dunia, jadi dia harus bersama kami tidak lama lagi,” kata Rabiot.

Rabiot menegaskan Perancis boleh mengatasi tanpa pemain bintang mereka.

“Kami pasti mahu dia bermain tetapi melihat siapa yang ada di bangku simpanan, kami mempunyai apa yang diperlukan untuk menggantikan Kylian.

“Kami perlu bergantung kepada kumpulan. Jika dia tiada maka ia akan menjadi lebih sukar tetapi saya percaya pemain hebat yang kami ada dalam pasukan,” katanya.