PEMAIN pertahanan Belanda, Micky Van De Ven percaya mereka tidak berdepan sebarang tekanan menjelang aksi separuh akhir Euro 2024 menentang England di Signal Iduna Park awal pagi esok.

Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun itu menyifatkan skuad The Three Lions berdepan tekanan lebih tinggi memandangkan mereka turun pada saingan kali ini dengan status sebagai pasukan pilihan.

Van De Ven sedar skuad kendalian Gareth Southgate menerapkan corak bertahan sepanjang Euro kali ini, namun dia menegaskan, Belanda sudah melakukan ‘kerja rumah’ untuk merobohkan benteng pertahanan England.

Belanda akan melakukan penampilan keenam dalam peringkat separuh akhir kejohanan benua Eropah itu. (Sumber Gambar: Getty Images)

“Kami memang ada baca beberapa berita mengenai gambaran pasukan England pada kali ini dan mereka sudah berada di separuh akhir. Itu membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang sangat berkualiti.

“Memang benar mereka adalah pasukan yang gemar bertahan pada Euro kali ini. Bagaimanapun, kami akan mula melakukan analisis mengenai kekuatan mereka dan belajar sesuatu daripada situ,” katanya.

Micky Van De Ven

Dia yang juga pemain Tottenham Hotspur mengakui, pertemuan dengan England nanti boleh dianggap seperti aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) memandangkan sebahagian besar kesebelasan utama Belanda merupakan pemain Liga Perdana.

“Saya fikir aksi separuh akhir nanti bakal menyajikan perlawanan yang hampir sama dengan Liga Perdana. Sudah tentu rentak dan standard permainan sangat tinggi dalam perlawanan tersebut,” ujarnya