TANGISAN Cristiano Ronaldo berubah menjadi kegembiraan apabila dia menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika membantu Portugal mara ke suku akhir Euro 2024, awal pagi Selasa.

Pada aksi menentang Slovenia di Arena Frankfurt, penyerang berusia 39 tahun itu berpeluang meletakkan Portugal di depan apabila pasukan itu dihadiahkan penalti pada separuh masa pertama masa tambahan selepas Diogo Jota dikasari ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Bagaimanapun, sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol Slovenia, Jan Oblak.

Selepas menyempurnakan 29 penalti sebelum ini, Ronaldo kelihatan terkejut melihat Oblak menyelamatkan sepakannya sambil memegang kepalanya.

Beberapa saat kemudian, wisel ditiup menandakan tamat separuh masa pertama masa tambahan dan ketika itu Ronaldo dilihat mula menangis secara terbuka ketika dia berdiri dalam kelompok pemain Portugal.

Dia kemudiannya ditenangkan oleh rakan sepasukan, Joao Palhinha sambil Ronaldo mengesat air matanya sebelum kembali ke padang bagi memulakan aksi separuh masa kedua masa tambahan.

Penyokong Portugal menyanyikan “Viva Ronaldo” selepas reaksi pemain itu ditunjukkan di skrin besar di Arena Frankfurt.

Ronaldo meraikan kemenangan Portugal bersama Pepe selepas berjaya menumbangkan Slovenia awal pagi tadi. (Sumber Gambar: Getty Images)

Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu menebus kegagalannya apabila dia berjaya menyempurnakan penalti penentuan pertama untuk meletakkan Portugal di landasan kemenangan.

Penjaga gol Portugal, Diogo Costa menafikan tiga sepakan penalti Slovenia untuk membawa pasukan itu menempah pertemuan dengan Perancis di suku akhir.

“Pada awalnya ia adalah kesedihan dan kemudian kegembiraan, itulah yang bola sepak berikan kepada anda, detik yang tidak dapat dijelaskan, sedikit segalanya,” kata Ronaldo.

“Saya tidak membuat satu kesilapan pun tahun ini dan apabila saya sangat memerlukannya, Oblak menyelamatkannya. Slovenia menghabiskan keseluruhan permainan bertahan dan apabila itu berlaku, semuanya menjadi sukar.”