TUGAS pengendali baharu Everton Sean Dyche bermula dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan ke atas pendahulu liga, Arsenal tetapi kini semua mata tertumpu padanya untuk aksi derbi Merseyside bertemu Liverpool awal pagi Selasa ini.
Berharap dapat membina momentum dari kemenangan itu, namun ianya masih bakal menjadi satu lagi tugasan sukar buat Dyche dan anak-anak buahnya apabila berkunjung ke Anfield untuk bertemu jiran setempat, Liverpool.
Apa yang boleh memberikan kelegaan buat Everton adalah Liverpool yang bakal ditemui bukanlah pasukan dengan prestasi yang sama ketika menjuarai empat trofi utama musim lalu.
Liverpool yang disebut-sebut sebagai pencabar utama liga kini sedang bergelut dengan prestasi dengan tidak memenangi sebarang perlawanan pada tahun 2023 dan berjaya menjaringkan hanya satu jaringan setakat ini.
“Arsenal adalah platform untuk pemain melihat apa yang dijangka, tidak kira siapa anda dan tidak kira cara permainan apa yang anda mainkan. Pemain menunjukkan kesungguhan mereka dengan aksi yang baik dan mereka mahukan lebih lagi,” katanya selepas perlawanan dengan Arsenal.
Dalam rekod lima pertemuan terakhir sebelum ini, Everton mencatat satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan dengan musim lalu mereka tewas 2-0 di Anfield hasil jaringan Andy Robertson dan Divock Origi.