TIGA pasangan beregu campuran skuasy negara, cemerlang di Hangzhou, China, apabila mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan jemputan sebagai persiapan Sukan Asia, September depan.

Beraksi di Kejohanan Beregu Campuran Exciting Hangzhou, dua gandingan Shafiq Kamal-Aifa Azman yang diletak sebagai pilihan utama dan Ivan Yuen-Rachel Arnold (pilihan kedua) sudah mengesahkan tempat di suku akhir, selepas masing-masing memenangi dua perlawanan di peringkat kumpulan.

Syafiq-Aifa muncul juara kumpulan A, selepas mengatasi gandingan FilipinaYvonne Alyssa-David William 11-4, 11-7, dan menang ke atas gandingan Korea Selatan, Lee Ji Hyun-Na Jooyoung 11-0, 11-4.

“Sangat gembira kerana terus layak ke suku akhir esok, dan hari ini kami mempunyai rehat yang cukup untuk bersedia menghadapi saingan suku akhir,” kata Aifa.

Manakala Syafiq berkata: “Dua kemenangan itu meningkatkan keyakinan mereka dan tidak akan memandang mudah cabaran di suku akhir nanti.”

Sementara itu, Ivan-Rachel turut mara ke suku akhir selepas mencapai dua kemenangan dalam kumpulan B.

Mereka mengatasi gandingan China Li Dongjin-Zhou Zhitao 11-4, 11-5 dan mendapat kemenangan percuma ke atas pasangan Singapura Sammy Ong-Timothy Leong.

Dalam pada itu, satu lagi pasangan, Addeen-Ainaa perlu menunggu perlawanan ketiga kumpulan sebelum disahkan sebagai juara kumpulan F.

Gandingan itu sudah memenangi dua perlawanan, mengatasi Gracia Chua-Jerome Aw dari Singapura, 11-7, 11-3, dan menang ke atas gandingan Hong Kong, Cheng Nga Ching-Mathew Lai, 11-7, 11-3.

Semua juara kumpulan akan terus layak ke suku akhir dan lawan hanya ditentukan menerusi undian.

Kejohanan beregu campuran ini menjadi medan persiapan buat semua negara, apabila acara beregu campuran diperkenal buat kali pertama dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September depan.