EXCO-EXCO Sukan Negeri menyambut baik peruntukan Geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput sebanyak RM500,000 yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf stadium yang terlibat dalam Liga Malaysia.

Selain RM500,000 yang diperuntukkan oleh KBS, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut sama bertitah untuk memberikan tajaan RM300,000 setahun bagi penyelenggaraan padang yang dinaiktaraf menerusi geran KBS kepada kelab-kelab Liga Malaysia.

Perkara ini dianggap sebagai permulaan yang cukup baik untuk setiap Exco Sukan Negeri menggunakan geran yang akan diberikan ini bagi menaik taraf padang stadium masing-masing sebelum sepak mula Liga Malaysia bermula Mei 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor bersedia untuk sama-sama melakukan perubahan yang lebih baik membabitkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terutamanya daripada aspek sistem saliran.

“Sudah tentu kami di peringkat negeri menerima baik tawaran oleh KBS untuk memberi geran sebanyak RM500,000 bagi menaiktaraf sistem saliran dan juga rumput padang.

“Sepertimana yang diperkatakan oleh Tunku Ismail di mana masalah yang sering dihadapi oleh setiap negeri adalah kewangan dan Tunku Ismail sedia memberikan sumbangan sebanyak RM300,000 bagi penyelenggaraan padang di setiap stadium.

“Jadi, kami bersedia untuk membuat perubahan itu dan memastikan tiada lagi peristiwa penundaan perlawanan akibat hujan lebat berlaku untuk musim baharu ini”, katanya.

Perkara ini turut diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad yang sedar bahawa Stadium Sultan Muhammad ke-IV turut berdepan masalah saliran sekiranya berlaku hujan lebat.

“Kerajaan negeri Kelantan amat berterima kasih kepada YB Hannah Yeoh dan juga Tunku Ismail atas pengumuman sumbangan untuk kami memperbaiki sistem saliran dan rumput di stadium kami.

“Saya sedar masalah yang selalu timbul di stadium ini adalah sistem saliran dan isu ini juga telah dibincangkan bagi memperbaiki kelemahan ini dan hasil perbincangan, kita dapat mencari satu kaedah dengan peruntukan yang ada ini untuk melakukan perubahan”, katanya.

Kesemua Exco Sukan Negeri telah berkumpul di Iskandar Puteri, Johor untuk menghadiri Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia Dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-2025 yang dianjurkan Malaysian Football League (MFL).