SCUDERIA Ferrari melancarkan jentera SF-23 pada Selasa di hadapan para peminat mereka di Maranello dengan dihadiri kedua-dua pelumba, Charles Leclerc dan Carlos Sainz serta Prinsipal Pasukan baharu Fred Vasseur.

Ferrari mensasarkan untuk berada satu tahap lebih baik dari tempat kedua pengeluar dibelakang pasukan Red Bull Racing yang dicapai musim lalu selepas dua tahun menjadi pasukan di tengah-tengah kejuaraan.

Pasukan paling berjaya dan ikonik dalam F1 ini tidak pernah memenangi apa-apa kejuaraan sejak 2007 dan jika gagal memenangi kejuaraan pemandu mahupun pengeluar musim ini, ianya akan menjadi kemarau paling panjang dalam sejarah Ferrari.

 

Dengan harapan yang tinggi diletakkan untuk musim ini, Ferrari bernasib baik kerana mempunyai dua pelumba, Charles Leclerc dan Carlos Sainz Jr yang sudah matang dan mampu menyaingi antara satu sama lain.

Leclerc, yang pada awal musim lalu dilihat mampu bersaing untuk kejuaraan pemandu akhirnya tidak mampu menghalang Max Verstappen untuk muncul juara dengan jurang mata yang sangat besar tetapi membuktikan dia mampu untuk bertarung di hadapan dan mengetuai pasukan.

Sainz pula yang dalam musim keduanya dengan Ferrari sudah pasti mahu membuktikan kemampuan yang ada pada dirinya selepas berjaya memenangi perlumbaan sulungnya di Grand Prix Britain musim lalu.

Barisan Ferrari 2023 – Carlos Sainz Jr, Fred Vasseur dan Charles Leclerc

Selain itu kehadiran Prinsipal Pasukan baharu, Fred Vasseur juga dilihat mampu mengembalikan zaman kegemilangan Ferrari selepas pelbagai kesilapan taktikal dilakukan ketika dibawah pengurusan Prinsipal Pasukan yang lama, Mattio Binotto.

“Valentine kami adalah kereta baharu kami,” kata Leclerc ketika majlis pelancaran jentera Ferrari dengan warna merah dan hitam yang bakal digunakan dalam kejuaraan F1 musim ini.

Kedua-dua pelumba selepas itu mengadakan ujian kereta itu di Litar Fiorano yang berhampiran Mugello untuk merasai sendiri kehebatan jentera SF-23 itu disaksikan ribuan penyokong setia Ferrari.

Jentera SF-23 Ferrari

Ferrari menjadi pasukan kelapan memperkenalkan jentera untuk musim ini dengan hanya Mercedes dan Alpine sahaja yang masih belum menunjukkan jentera pencabar mereka dengan Mercedes dijadualkan pada Rabu manakala Alpine terakhir pada Khamis.

Ujian pramusim akan bermula dari 23 hingga 25 Februari di Litar Sakhir, Bahrain sebelum musim penuh bermula di litar yang sama dengan Grand Prix Bahrain mengambil tempat pada 5 Mac.