CADANGAN terbaharu untuk penganjuran perlumbaan Formula 1 di Kota London telah diumumkan oleh perancang yang menyatakan mereka sudah berbincang bersama pengurusan Formula dengan perlumbaan pertama boleh dilangsungkan seawal 2026.
Dalam usaha terkini untuk membawa F1 ke ibu negara England itu, perunding telah mencadangkan pembangunan kawasan Timur London, Royal Docks untuk memiliki litar sepanjang 5.7km menyerupai Litar Gilles Villeneuve di Montreal, Kanada.
Litar jalanan dengan 22 selekoh itu bakal mempunyai laluan lurus yang panjang serta ‘chicane‘ dengan kereta F1 dijangka melalui limbungan bersejarah dan Lapangan Terbang Bandar London dengan purata kelajuan 203km/j.
NEW: F1 not in talks over London race as developer pushes another plan for grand prix
Read more: https://t.co/fxqPt2wbos
— RaceFans (@racefansdotnet) March 14, 2023
Bidaan sebelum ini untuk membawa perlumbaan grand prix di tengah Kota London telah mendapat bantahan awam kerana ianya didapati tidak praktikal untuk menutup laluan yang sibuk dan meletakkan penonton di kawasan bersejarah yang sempit.
Cadangan baharu daripada perunding Dar dan LDN juga telah memasukkan elemen seperti taman, grandstand terapung beserta empat stesen kereta api DLR untuk menghubungkan litar yang dijangka mempunyai kapasiti 95,000 penonton.
Modul terapung akan dipasang di atas air yang bakal mengandungi hotel, restoran termasuk taman-taman dan perpustakaan yang boleh diubah menjadi grandstand, gerai makanan dan ruang persembahan sepanjang minggu perlumbaan yang boleh diubah dalam masa dua minggu.
Pemegang hak komersil F1, Liberty Media sedang meneruskan pertumbuhan sukan ini dengan menarik lebih ramai penonton dengan lebih banyak perlumbaan yang diadakan disamping kawasan hiburan yang mudah diakses seperti Grand Prix Las Vegas.
Jika perkara ini berlaku, England akan mempunyai dua perlumbaan selain Grand Prix British yang dilangsungkan di Litar Silverstone yang masih mempunyai kontrak penganjuran hingga 2024.