PEMANDU pasukan Petronas AMG Mercedes F1, George Russell masih tenang dan yakin kemenangan pertama Grand Prix buat dirinya pasti akan hadir dan dia kini akan menumpukan perhatian dalam baki enam lagi perlumbaan musim ini.

Ketika rakan-rakannya yang juga dikenali sebagai pemandu muda Formula Satu seperti Charles Leclerc, Carlos Sainz dan Pierre Gasly sudah menikmati kemenangan Grand Prix dalam karier mereka, Russell yang dianggap juara dunia mendatang masih gagal menjuarai Grand Prix dalam 76 perlumbaan.

Pemandu British berusia 24 tahun itu mempunyai peluang terbaik menjuarai Grand Prix Sakhir ketika menggantikan tempat Lewis Hamilton yang dijangkiti Covid-19 pada 2020 namun kegagalan tayar pada penghujung perlumbaan menidakkan peluangnya untuk bergelar pemenang Grand Prix.

George Russell

Tahun ini dia memandu jentera Mercedes secara kekal namun perubahan peraturan untuk musim 2022 ini dilihat mengganggu prestasi juara dunia pengeluar lapan kali berturut-turut itu yang masih gagal memenangi perlumbaan musim ini.

“Masanya akan tiba buat saya menjuarai perlumbaan. Saya hanya perlu tenang dan fokus dalam perlumbaan terutama pada baki enam lagi Grand Prix musim ini,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN ketika ditemui dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Menjelang Grand Prix Singapura hujung minggu ini, Russell yakin dengan kemampuan jentera mereka dan menjangkakan satu perlumbaan yang sukar akibat dari cuaca panas dan keadaan litar jalanan yang mencabar.

Russell melakukan debut dalam Formula Satu di Grand Prix Australia 2019 bersama pasukan Williams selepas muncul juara Formula 2 pada 2018 dan kini bersama Mercedes pada tahun keempat dalam kariernya di F1.