MAX Verstappen berjaya mempertahankan pemanduan pantas dan tenang dalam keadaan cuaca buruk untuk merampas petak pertama dalam sesi kelayakan Grand Prix Kanada dengan pemandu veteran, Fernando Alonso melakukan kejutan di tempat kedua.
Verstappen melakukan masa sepusingan terpantas 1minit 21.299 saat menggunakan tayar pertengahan ketika litar semakin kering meninggalkan Alonso 0.645 saat di belakang manakala Carlos Sainz ketiga.
Lewis Hamilton membuktikan dia adalah pakar dalam keadaan hujan untuk bermula di petak keempat dihadapan dua pemandu Haas, Kevin Magnussen dan Mick Schumacher yang berjaya menduduki petak kelima dan keenam masing-masing.
Esteban Ocon ketujuh dihadapan seoang lagi pelumba Mercedes, George Russell yang cuba mencatat masa menggunakan tayar kering namun gagal dihadapan Daniel Ricciardo di tangga kesembilan manakala Guanyu Zhou melengkapkan 10 pelumba terpantas.
Valtteri Bottas ke-11 dihadapan Alex Albon manakala Sergio Perez ke-13 selepas tersingkir akibat kemalangan dengan Lando Norris ke-14 selepas mengalami masalah pada jenteranya.
Kekecewaan jelas terlihat dari wajah Pierre Gasly dan Sebastian Vettel yang konsisten sepanjang sesi latihan namun terpaksa berpuas hati di petak ke-15 dan 16 manakala dua pelumba Kanada, Lance Stroll dan Nicolas Latifi ke-17 dan 18.
Charles Leclerc yang melakukan pertukaran pada enjin bakal bermula di petak terakhir bersama-sama Yuki Tsunoda di tempat ke-19 sekaligus bakal menyaksikan aksi perlumbaan menarik dari kesemua pelumba yang bakal memulakan perlumbaan pada jam 2 pagi Isnin waktu Malaysia.