AKSI Fomula 1 kemungkinan akan kembali ke Litar Kyalami dalam usaha untuk mengembalikan semula Grand Prix Afrika Selatan yang kali terakhir menganjurkan perlumbaan pada tahun 1993.
Penambahan perlumbaan di benua Afrika kini menjadi keutamaan buat F1 dalam usaha mereka menganjurkan perlumbaan di setiap benua di dunia ini.
Sejak pengambilalihan oleh Liberty Media pada 2017, beberapa campuran perlumbaan klasik dan baharu mendapat tawaran yang kekal seperti Grand Prix Belanda di Litar Zandvoort dan Grand Prix Emilia Romagna di Litar Imola.
Selain itu, dua perlumbaan dengan bayaran tertinggi di Timur Tengah, Grand Prix Arab Saudi dan Grand Prix Qatar serta dua perlumbaan di venue penuh glamor di Amerika iaitu Grand Prix Miami dan Grand Prix Las Vegas telah ditambah.
Kini selepas selesai dengan pengembangan sukan itu di rantau berkenaan terutama di Amerika Syarikat, fokus terbaharu F1 adalah memastikan agar Litar Kyalami dapat menganjurkan perlumbaan walaupun mungkin seawalnya hanya pada tahun 2024.
Litar Kyalami perlu dinaik taraf ke status Gred 1 FIA bagi memastikan ianya sesuai untuk menganjurkan perlumbaan kerana bekas venue ini telah berada dalam keadaan yang kurang memuaskan sebelum ini.
Antara perkara yang perlu dilakukan pemilik litar adalah menambah kawasan ‘run-off’ dan memasang penghadang TecPro bagi memastikan litar ini memperolehi pensijilan Gred 1 oleh FIA.
Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali (gambar) telah menyuarakan hasratnya untuk menambah perlumbaan di benua Afrika dalam beberapa kesempatan bulan lalu.
“Selain dari Amerika, selain dari China, saya fikir ianya juga berpotensi untuk menganjurkan perlumbaan di Afrika tidak lama lagi.
“Ramai yang menunjukkan minat untuk menganjurkan Grand Prix di sana dan pastinya ianya adalah kawasan yang tertinggal dari geografi kalendar perlumbaan kami,” ujarnya.
Atas sebab inilah mengapa tawaran penganjuran buat Litar Kyalami dijangka dilihat sebagai pengumuman terbesar dalam pengumuman kalendar Formula Satu selepas ini.
Selain itu juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton, individu pertama dan satu-satunya pemandu kulit hitam dalam sejarah Formula Satu juga berulang kali mahukan perlumbaan di Afrika.
Beliau turut menegaskan isu ini minggu mengenai perlumbaan terbaharu di Las Vegas dengan menyatakan bahawa; “Apa yang saya mahu lihat adalah perlumbaan di Afrika Selatan. Itulah pengumuman yang saya nanti-nantikan.”
Kalendar perlumbaan F1 kini berlumba di benua Eropah dengan 11 perlumbaan, lima di Asia, tiga di Amerika Utara, satu Amerika Tengah, satu Amerika Selatan dan satu Australasia melengkapkan 22 perlumbaan musim 2022 ini selepas Grand Prix Russia dibatalkan.