PEMANDU McLaren, Oscar Piastri berjaya menafikan cabaran pelumba Ferrari, Charles Leclerc yang bermula di petak pertama untuk memenangi Grand Prix (GP) Azerbaijan manakala George Russell dari Mercedes di tempat ketiga.
Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris, menamatkan perlumbaan di tempat keempat, mengurangkan jurang dengan pendahulu kejuaraan, Max Verstappen dari Red Bull (kelima), kepada 59 mata dengan berbaki tujuh perlumbaan dan tiga perlumbaan pecut.
Perlumbaan di jalan raya Baku menyaksikan drama di penghujung saingan apabila pelumba Ferrari, Carlos Sainz dan Sergio Perez dari Red Bull kedua-duanya terbabit kemalangan dan perlumbaan berakhir di belakang kereta keselamatan.
Leclerc memimpin perlumbaan selepas meraih petak utama buat kali keempat berturut-turut di Baku sehingga pusingan ke-20 sebelum Piastri berjaya memintasnya.
Pertarungan sengit antara pemandu Australia dan Monaco itu berterusan namun Piastri berjaya mempertahankan kedudukannya sekaligus meraih kemenangan kedua dalam kariernya selepas kejayaan di Hungary pada Julai lalu.
Manakala Norris yang meraih mata tambahan untuk catatan sepusingan terpantas, mengumpul 254 mata menjelang Grand Prix Singapura hujung minggu depan.
McLaren berjaya memintas Red Bull dalam perlumbaan merebut gelaran juara pengeluar.