PERSATUAN Bola Sepak (FA) kini sedang menyiasat sama ada pemain tengah Newscastle, Sandro Tonali masih melanggar peraturan pertaruhan selepas menyertai Liga Perdana Inggeris pada musim panas.

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) telah mengenakan hukuman gantung selama 10 bulan kepada pemain antarabangsa Itali itu pada bulan lalu, di mana lapan bulan daripadanya akan dikurangkan kepada rawatan alternatif selepas mencapai persetujuan dengan Pejabat Pendakwa Persekutuan.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyatakan bahawa mereka telah memberi kelulusan kepada persekutuan Itali untuk mengenakan hukuman tersebut di seluruh dunia.

Difahamkan, pemain berusia 23 tahun ini menyertai Newcastle dari AC Milan di Serie A pada bulan Julai dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak €70 juta (RM 355.45 juta), namun dia akan terlepas baki musim ini serta Kejohanan Euro 2024 musim panas akan datang jika Itali layak ke peringkat seterusnya.

Menurut Pengarah Sukan, Dan Ashworth berkata perlanggaran peraturan pertaruhan yang dilakukan Tonali mengejutkan Newscastle dan kelab Liga Perdana itu sedang menjalankan siasatan secara mendalam berkenaan pemindahan pemain tengah itu.

“Ia merupakan satu kejutan besar dan ini adalah perkara baharu yang kami perlu hadapi. Kami tidak menjangka perkara ini akan berlaku, ia datang dengan tiba-tiba,” katanya.

Apabila ditanya sama ada Milan akan mengetahui perkara ini semasa pemindahan berlaku, Ashworth bagaimanapun berkata sangat sukar baginya mengetahui perkara yang dilakukan atau tidak diketahui oleh kelab lain.

Bulan lalu, ejen Tonali memaklumkan pemain tersebut mengalami ketagihan perjudian. Pada masa sama, Ashworth berkata FA mengetahui kejadian itu dan kelab itu sedang memberi kerjasama.

Awal pagi tadi, Newscastle melakar kejutan menewaskan Arsenal yang berada kelompok teratas liga di St James’ Park sebelum melakukan lawatan menjelang aksi Liga Juara-Juara berdepan Borussia Dortmund minggu depan.

Newscastle turut mengalu-alukan Milan apabila mereka menjadi tuan rumah dalam pertandingan kelab elit Eropah di laman sendiri pada bulan Disember.