MEMENANGI pingat emas pertama di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, sehari selepas Hari Bapa, membuatkan Muhammad Fadhil Mohd Zonis terkenangkan Allahyarham bapanya, Mohd Zonis Mokhtar.

Mendedikasikan pingat emas 1 kilometer (km) ujian masa itu kepada bapanya, Fadhil agak sebak kerana tidak sempat menunjukkan pingat dan jersi ACC yang dimenanginya.

“Kemenangan ini ada istimewanya, saya dapat bawa pulang kejuaraan kembali ke Malaysia selepas banyak kali mencuba.. semalam hari bapa.

“Bapa saya sudah meninggal dunia dan sejak dahulu lagi saya berniat mahu dapatkan jersi ini sebagai membalas pengorbanannya, apa yang telah dia lakukan untuk saya dan anak-anak,” kata Fadhil, mengenang pemergian bapanya pada 2019.

Pingat emas dan jersi ACC2023 buat Allahyarham abah… Muhamad Fadhil Zonis.

Menurutnya, sebelum ke pangkalan latihan di Jerman pada tahun 2019, bapanya berpesan, “Pergilah, ingat pesan abah, tak kira jika abah pergi dahulu sekalipun, pergilah”.

Ujar Fadhil, sebelum ke Jerman, bapanya sudah berada dalam keadaan nazak.

Menambahkan keistimewaan pingat dimenanginya kali ini, Fadhil mendedikan kepada isterinya yang hadir ke Veledrom Nasional, Nilai, serta ibunya di rumah.

Muhamad Fadhil Zonis dijulang pememang pingat perak dan gangsa dari India dan Korea Selatan.

“Adik saya baru mengalami kemalangan dan situasinya 50-50 hingga menjalani pembedahan… pingat ini menjadi lebih istimewa.”

Fadhil memenangi acara itu selepas mencatat masa 1 minit (m) 0.559 saat (s), cukup mengatasi pelumba India, Ronaldo Laitonjam dan Korea Selatan Choi Woorim.

Dia menamatkan kemarau lebih sedekad, selepas kali terakhir pingat emas acara itu dimenangi Mohd Edrus Yunus pada 2012.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley bergambar bersama tiga pemenang pingat hari terakhir ACC2023, Muhamad Fadhil Zonis (emas), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (perak) dan Zulfahmi Aiman Zulkurnain (gangsa).

Selain Edrus, Mohd Rizal tisin yang kini melatih skuad berbasikal trek Indonesia, pernah memenangi acara itu pada 2011 dan 2008.

Pada edisi 2020 dan 2022, Fadhil sekadar memenangi pingat perak acara terbabit.

“Apa yang berlaku semalam, kemalangan melibatkan Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) dan kemenangan Datuk Azizulhasni Awang, saya ambil semangat dari situ.

“Shah bangkit dari kemalangan dan akhirnya meraih pingat gangsa.”