MESKIPUN sekadar memenangi pingat gangsa di Hong Kong, Muhammad Fadhil Mohd Zonis tetap membara dan menjadikan pencapaiannya dalam acara pecut itu sebagai pembakar semangat memburu kejuaraan pertama di Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC 2023) di Nilai yang akan bermula esok (Rabu).
Atlet kebangsaan yang boleh diletakkan sebagai pelumba trek ketiga terbaik negara ketika ini, bertekad mahu mengembalikan maruah basikal negara dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa individu, yang kali terakhir dimenangi Mohd Edrus Yunus pada ACC 2012.
“Sasaran saya tetap sama, saya nak dapatkan jersi ACC tu… sudah beberapa kali terlepas dan sebelum ini saya sekadar mendapat tempat kedua, kali ini di laman sendiri, lebih bersemangat dan akan membuat yang terbaik di hadapan penyokong tempatan,” kata Fadhil yang memenangi pingat gangsa dalam acara pecut di Kejohanan Trek Piala Antarabangsa Hong Kong II dua minggu lalu.
Fadhil meraih pingat perak 1km ujian masa individu pada ACC 2020, selepas tewas kepada pelumba Kazakhstan, Andrey Chugay.
Selain Edrus, Mohd Rizal Tisin pernah dua kali memenangi acara ini di ACC 2008 dan 2011.
Menurut Fadhil, selain 1km ujian masa individu, dia juga akan beraksi dalam acara ujian masa berpasukan dan pecut berpasukan.
Dia mempunyai catatan terbaik 1 minit 00.305 saat dalam acara ujian masa individu bakal berdepan cabaran pelumba China yang mempunyai catatan hampir sama dengannya, selain pelumba Jepun Yuta Obara yang kini memegang rekod Asia, 59.796s, yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Perancis, tahun lalu.
Skuad negara dijangka membariskan trio baharu dalam pecut berpasukan, diketuai Fadhil bersama-sama Muhammad Ridwan Sahrom dan seorang lagi pelumba junior, Umar Hasbullah.
Menurutnya, dia menyasarkan untuk memenangi medal dalam acara pecut berpasukan namun sedar cabaran kali ini tidak mudah: “Musim ini cabaran lebih getir kerana semua pelumba melakukan persiapan dan memburu mata kelayakan Olimpik. Agak tough untuk semua acara kali ini.”
Tambah Fadhil, dia perlu memberi perhatian kepada pelumba Jepun dan China namun tidak boleh meminggirkan cabaran daripada India dan Pakistan.
Acara pecut berpasukan lelaki akan dan ujian masa lelaki akan bermula esok.