WALAUPUN sering menerima sasaran kritikan penyokong Kedah Darul Aman, Fadzrul Danel Nizam tidak mempedulikan soal itu, sebaliknya kekal bermain tenang jika diturunkan dalam mana-mana perlawanan.

Semasa perlawanan bertemu Terengganu FC di Alor Setar pada Rabu, Fadzrul Danel yang dimasukkan menggantikan kapten, Manuel Ott membalas kepercayaan dengan menyumbat gol kemenangan Sang Kenari.

Puluhan ribu peminat yang hadir sama ada di stadium mahupun di rumah bersorak keriangan meraikan jaringan ‘buah last’ yang menghampakan pasukan pelawat.

Betul, sejak kehilangan perancang tengah yang serba boleh apabila Baddrol Bakhtiar yang memutuskan keputusan untuk berhijrah ke pasukan di bawah bayu, Sabah FC, kehadiran pemain kelahiran Sungai Petani itu cukup penting dalam kem Nafuzi Zain.

Dibayangi awang import di posisi sama seperti Amirbek Juraboev, Manuel Hidalgo dan tonggak kebangsaan, Lee Tuck, kini pasukan Sang Kenari itu telah mempunyai ‘The Next Baddrol Bakhtiar’.

Kelibat pemain muda yang miliki ketinggian 1.82 meter itu mula menyerlah dan benar-benar mengejutkan apabila seolah-olah jelmaan Baddrol Bakhtiar ketika remaja dahulu.

Dia mula menjadi perbualan hangat apabila masuk di saat-saat penting perlawanan. Untuk rekod, ini adalah jaringan pertama Fadzrul Danel di Liga Super sejak kali terakhir menghasilkan gol ketika menentang Perak juga dalam saingan Liga Super pada tahun 2020.

Bagaimanapun, wira Kedah yang menjulang Piala FA edisi 2019 beraksi tanpa sebarang jaringan pada musim 2021 dan 2022.

ARTIKEL BERKAITAN : Dilabel wira KDA FC.. Fadzrul Danel ‘takut’ Terengganu jaringkan gol

Fadzrul menjaringkan gol pada aksi final Piala FA 2019 di Bukit Jalil.

Bekas penyerang Hijau Kuning era 1990-an, Faridzuan Che Hamid percaya bakat dimiliki Fadzrul tidak sepatutnya dipersia-siakan kerana proses pengembangan karier bola sepak pemain itu masih panjang.

“Bagi dia peluang lebih (minit permainan). Insya Allah dia akan matang nanti dalam permainan,” katanya yang pernah bergandingan dengan Peter Niekietien dan Jan Janostak ketika zaman kegemilangannya bersama Kedah.

Semasa era Aidil Sharin Sahak, Fadzrul Danel banyak diletakkan di bangku simpanan dan tempoh dua tahun tanpa menjaringkan gol dan kurang minit permainan menyebabkan prestasinya sedikit menurun.

Namun, permulaan yang baik Kedah dalam saingan domestik akan memungkinkan perjalanannya kali ini bakal berubah bersama Nafuzi dan rakan-rakan.