PENAUNG Kuala Lumpur (KL) City FC, Fahmi Fadzil memberi bayangan bahawa beliau sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab lebih besar dalam tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Tidak mustahil, wajah penaung pasukan KL City itu bakal menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad sekali gus dapat meneraju pasukan dengan penuh perhatian dan komitmen yang tinggi.
Namun, Fahmi merangkap sebagai Menteri Komunikasi dan Digital turut menegaskan bahawa, matlamat utamanya kini lebih untuk memastikan tahap kesiapsiagaan KL City berada pada tahap yang terbaik.
“Insya Allah. Sememangnya terdapat beberapa cadangan yang akan dipertimbangkan. Saya sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur dan juga Menteri Komunikasi mahu memastikan KLFA sendiri dapat dikemudi dengan baik.
“Tidak hanya itu, saya juga mahu membantu semua kelab gabungan dan juga pasukan yang bermain serta bernaung di bawah KLFA dapat peluang yang terbaik.
“Jadi, bila sampai masanya, kita akan umumkan beberapa maklumat tetapi yang penting setakat ini, sebagai Penaung, saya mahu semua keperluan KL City dapat diselaraskan dan disediakan,” ujar beliau semasa ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Terdahulu, Fahmi dilantik secara rasmi untuk memegang watak sebagai penaung pasukan KL City pada 9 Jun tahun lalu.
Sebelum ini, beliau juga pernah tampil dan memberi kenyataan berikutan masalah tunggakan gaji kepada para pemain dan beberapa pengurusan terbabit.
Menurut Fahmi, pihaknya akan cuba menyelesaikan isu yang melanda KL City dengan tempoh segera demi melihat pasukan The City Boys itu kembali bersinar dalam saingan bola sepak yang akan bermula pada Mei nanti.