PENYERANG lincah Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim mengakui bahawa pasukan Gergasi Merah masih belum berada tahap sebenar prestasi keseluruhan.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana Selangor FC mampu mengutip tiga mata penuh meskipun gagal mempamerkan aksi memberangsangkan untuk memperoleh gol.

“Ya, sudah tentu pasukan Selangor masih belum cukup perlawanan sebenarnya, tapi kita sebagai pemain tidak boleh jadikan itu sebagai alasan untuk kita terus bermain dengan baik.

“Kita cuba buat yang terbaik dalam setiap perlawanan tak kira siapa pun kita lawan. Tak kisah macam mana sekali pun cara permainan kita baik atau teruk, yang penting dapat tiga mata penuh,” katanya.

Sementara itu, Faisal menghormati pasukan Kelantan United yang dikatakan turut memiliki kualiti tersendiri untuk bersaing dalam Liga Super.

“Pada saya musim ini kita tidak boleh jangka ada pasukan yang lemah kerana setiap pasukan mempunyai kualiti mereka tersendiri.

“Kita tidak boleh pandang rendah. Sebagai pasukan Selangor kita perlu buat yang terbaik untuk dapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pemain berusia 25 tahun itu mengakui sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri sejak menyertai Selangor, namun dia gembira semuanya berjalan lancar dan bersyukur dapat bantu pasukan memperoleh kemenangan pertama.

Menjelang perlawanan kedua di tempat lawan Kuching City FC, Faisal mengakui Kuching City FC adalah sebuah pasukan yang hebat apabila turut memperoleh kemenangan pertama menentang Kelantan FC baru-baru ini.

“Kita tahu bila lawan Selangor, semua pasukan akan memberikan persembahan yang lebih, tapi mereka akan bermain di tempat sendiri, jadi tekanan itu kepada mereka. Kita juga tahu bukan mudah untuk pasukan pelawat mendapat mata di tempat lawan, tapi kita pasukan Selangor, kita ada kualiti jadi saya harap semua pemain dapat beri yang terbaik.” ujarnya.